Reformasi Hanya Tong Kosong (Bahagian 1)

REFORMASI dicetuskan pada 1998 oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim (DSAI) kerana pemecatannya sebagai Timbalan Perdana Menteri atas alasan rasuah dan tabiat sodomi. Ia dicetuskan di tengah-tengah kancah kemelesetan ekonomi ketika itu.

Dengan itu juga secara falsafahnya ‘reformasi’ yang digerakkan oleh DSAI, bukanlah reformasi hakiki yang mahukan perubahan dan mempertahankan status quo, sebagaimana yang disarankan oleh ahli falsafah seperti Stan Parker atau Rosa Luxemberg.

Hakikatnya reformasi ialah satu doktrin yang memperakui tindakan perubahan pragmatik untuk mempertahankan atau membela staus quo dengan mengelakkan perubahan kerangka fundamental tetapi membawa kepada kelahiran sistem ekonomi dan politik yang berbeza daripada yang sedia ada.

Hakikatnya DSAI mengelencongkan reformasi kepada revolusi yang cuba mempertahankan dosa-dosa dirinya dengan cara menentang status quo bukan untuk tujuan perubahan tetapi menghapuskannya. Gelojoh sungguh DSAI.

Gerakan reformasi DSAI yang secara dangkalnya meniru gerakan reformasi Indonesia yang berjaya menjatuhkan Suharto tanpa memahami bahawa dalam Parlimen Indonesia, tidak ada pembangkang.

Reformasi Indonesia juga signifikannya melibatkan campurtangan pihak tentera dalam urusan menentukan pemimpin, sedangkan pemimpin mereka dilantik dan bukannya dipilih seperti di Malaysia.

Amat berbeza dengan situasi di Malaysia, kerana di Indonesia ramai yang miskin-lapar dan berisiko mati kebuluran. Sebaliknya di Malaysia sang pemalas juga masih ada makanan.

Pemecatan DSAI telah berpekung sejak 1996 lagi apabila Tun Dr Mahathir (TDM) dapat menghidu strateginya membina kem penyokong dalam UMNO – pastinya dengan matlamat melemahkan pengaruh TDM dan seterusnya mengangkat dirinya sebagai Perdana Menteri (PM).

Di tengah-tengah krisis mata wang 1997 Mahathir cuba menyelamatkan Konsortium Perkapalan Bhd milik anaknya Mirzan Mahathir yang memerlukan RM2 bilion dana daripada pihak kerajaan yang mahu diambil melalui Petronas. Jika tidak konsortium tersebut akan muflis. Namun sebagai Menteri Kewangan, DSAI hanya meluluskan sejumlah kira-kira RM1 bilion dan ini telah membangkitkan kemarahan TDM.

Kemudian daripada dampak kemelesetan ekonomi 1997 juga, isu menyelamatkan syarikat besar milik kroni TDM melarat kepada kes Renong, Sime Bank, Bank Bumiputera, MAS, Empangan Bakun dan pelbagai lagi.

Bagi menangani krisis ekonomi itu, DSAI mahu menggunakan IMF untuk menyelamatkan ekonomi Malaysia, sedangkan TDM mahu syarikat-syarikat kroninya itu diselamatkan sendiri melalui dana kerajaan kerana tidak mahu syarikat-syarikat tersebut muflis yang akibatnya ramai rakyat akan kehilangan pekerjaan.

Sebaliknya TDM juga menentang polisi IMF yang disifatkan sebagai suatu bentuk neo-kolonialisme kuasa kapitalis menerusi senjata ekonomi dan semakin merosakkan keadaan ekonomi sesebuah negara yang menerima bantuan agensi dunia terbabit.

Sebagai alternatif, Dr. Mahathir menubuhkan Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) dengan membawa masuk Tun Daim Zainuddin bagi merangka langkah-langkah pemulihan ekonomi.

Tindakan TDM itu dilihat sebagai merendahkan kedudukan DSAI sebagai Menteri Kewangan pada masa itu yang masih tercari-cari kaedah sesuai bagi pemulihan ekonomi Malaysia.

Krisis ekonomi itu juga telah cuba digunakan untuk menentang dasar ekonomi TDM. Pada perhimpunan agung UMNO 1998 Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Zahid Hamidi mendakwa krisis tersebut disebabkan oleh amalan korupsi, kronisme dan nepotisme (KKN) dalam pembahagian kontrak-kontrak kerajaan.

Sebagai tindak balas, TDM kemudian mengeluarkan senarai penerima kontrak-kontrak kerajaan yang juga terdiri daripada saudara-mara dan penyokong DSAI termasuk Zahid.

Perbalahan menjadi lebih kritikal apabila kem DSAI dan kem TDM mula bertelagah setelah rombakan kabinet memperlihatkan bahawa kumpulan kem TDM memegang banyak portfolio yang penting yang diterjemahkan telah memperkukuhkan kuasa dan pengaruh TDM sendiri.

Surat layang yang mendedahkan salah laku seks DSAI pun mula tersebar, pastinya daripada kem TDM. DSAI pula cuba melawan dengan gerakan KKN yang menyebabkan ramai kroni TDM yang menerima habuan ekonomi menjadi resah-gelisah.

Media Barat pula turut menyiarkan laporan provokasi melaga-lagakan DSAI dengan TDM, terutamanya apabila TDM menuduh “Yahudi mempunyai agenda dan rencana tertentu untuk menjatuhkan negara Islam dan mengatur pelbagai usaha jahat termasuk melemahkan ekonomi dan mata wang negara-negara Islam.”

Pada 7 Jun 1998, DSAI telah merasmikan satu konvensyen ekonomi di Johor, dan dia telah membangkitkan isu Reformasi, Keadilan dan Keseimbangan. Di sinilah bermulanya bibit-bibit kelahiran gerakan reformasi dan membawa kepada krisis TPM-PM.

DSAI berkali-kali di beberapa tempat ketika dia dijemput untuk berucap membangkitkan isu yang sama yang kemudiannya menjadikan ‘Korupsi, Kronisme dan Nepotisme’ sebagai klise dan senjata serangannya terhadap TDM.

Sebagai tindak balas, TDM mula mengadakan perhimpunan raksasa di seluruh negara untuk menentang idea mendapatkan sokongan IMF dan mempertahankan dasar ekonomi negara serta menegaskan bahawa KKN tidak relevan dalam konteks Malaysia.

Pada 26 Jun TDM membangkitkan kemarahannya dan mendedahkan bahawa terdapat golongan tertentu yang telah membawa masuk sekumpulan pelajar Indonesia untuk mempengaruhi pelajar Malaysia supaya menentang kerajaan atas tuduhan korupsi, kronisme dan nepotisme (di Indonesia kronisme diistilahkan sebagai kolusi). TDM juga mendakwa bahawa pelabelan KKN digunakan untuk menjatuhkan kerajaan yang tidak mahu tunduk kepada kehendak Barat.

Konflik TDM-DSAI memuncak apabila terbitnya buku “50 Dalil Mengapa Anwar Tidak Boleh Menjadi PM” yang sekali gus mendedahkan salah laku seks DSAI.

Pada tarikh 2 September 1998, DSAI dipecat sebagai TPM oleh Tun Dr Mahathir (TDM) atas dasar bahawa dia adalah sodomis. Bagi TDM, DSAI tidak layak menjadi TPM apatah lagi PM Malaysia pada masa hadapan. Masakan sodomis boleh diangkat sebagai bakal PM.

Namun ketika itu kes sodomi DSAI belum lagi diputuskan oleh mahkamah, sedangkan rakyat sudah ditenggelami dengan kezaliman TDM dan sikap kleptokrasi, kronisme, nepotisme dalam banyak kes penyelewengan kuasa, misalnya kes Maminco, pemecatan Ketua Hakim Negara, pemecatan tiga Hakim Mahkamah Agung. Skandal BMF, tragedi Memali, perjudian Forex Bank Negara Malaysia, anak TDM direkodkan sebagai antara Sepuluh ‘Billionaires’ Malaysia, kelemahan dan kelembapan Proton, Kes membeli semula MAS, Konsesi Lebuhraya untuk kroni, salah guna ISA dalam Operasi Lalang, krisis matawang negara dan pelbagai lagi.

Rakyat menjadi rabun terhadap kes sodomi DSAI, kerana TDM sendiri bergelumang dengan penyelewengan dan salah guna kuasa.

Reformasi yang dicetuskan oleh DSAI juga dilihat datang dalam satu pukal (package); krisis politik, krisis ekonomi dan bersama dengan kehadiran teknologi Internet yang memberikan ruang kebebasan bersuara yang amat lewah.

Ia juga dipukalkan oleh dasar kerajaan dalam Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM), Fasal 3.3 yang menegaskan bahawaTiada apa-apa jua dalam Akta ini boleh ditafsirkan sebagai membenarkan penapisan Internet.

Peruntukan AKM itu diperkukuhkan pula dalam Bil Jaminan Koridor Raya Multimedia (Bill of Guarantee) kepada syarikat-syarikat multimedia, bahawa antara lain, membawa peruntukan yang sama; ‘menjamin tiada penapisan Internet’.

Maka riuhlah media sosial dengan pelbagai kritikan terhadap TDM yang sesetengah penganalisis menyimpulkan sebagai media rakyat, media baru, atau media dalam talian yang bebas dari kuku besi TDM. Dengan kebebasan media baru itulah rakyat melihat kutukan yang teruk dan ekstrem terhadap pemimpin yang tidak pernah dilihat selama ini dalam mana-mana media massa.

Komunikasi menjadi mudah untuk mengumpul penyokong dalam gerakan reformasi DSAI yang ketika itu dilihat amat gah menentang TDM, walaupun kemudiannya disuntik dengan retorik mengubah kerajaan BN-UMNO atas dasar yang sama; kezaliman, kronisme, nepotisme dan kleptokrasi.

Namun hakikatnya rakyat bukan melihat BN-UMNO yang korup, sebaliknya TDM yang korup, TDM yang membangkitkan gelombang reformasi, TDM yang menzalimi DSAI, TDM yang menyelewengkan urusan BNM dalam kes Forex dan TDM yang menyebabkan MAS yang secara teknikalnya telahpun muflis, sebagaimana didakwa oleh Bekas Ketua Pegawai Eksekutif MAS, Christoph Mueller.

Dengan kegenjotan TDM sendiri, reformis dan rakyat yang mengasak menyokong reformasi DSAI, terlupa dan gagal menilai karektor DSAI.

Menurut Bekas Timbalan Presiden PKR (dulunya Parti Keadilan Nasional), Dr Chandra Muzaffar, Anwar Ibrahim adalah sesumpah yang boleh bertukar rupa. Ramai yang bersetuju dengan Dr Chandra bahawa pada siangnya dia boleh menjadi pemimpin Islam yang hebat, tetapi pada malamnya dia boleh bertukar rupa menjadi manusia rakus seks, yang mengetepikan nilai-nilai dan prinsip yang didukungnya pada siang hari.

Menurut Dr. Chandra Muzaffar, salah satu sebab utama beliau meninggalkan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan PKR pada Februari 2001 adalah kerana tabiat seks Ketua Pembangkang itu.

Walaupun pernah mempertahankan dan membela Ketua Pembangkang sewaktu pertuduhan liwat pada 1997, kepercayaannya lebur selepas dua pegawai kanan diplomatik Singapura mendedahkanbahawa bahagian perisikan negaranya sudah lama menyimpan bukti aktiviti homoseksual DSAI.

Bekas Perdana Menteri Singapura, Lee Kuan Yew dalam satu mesyuarat dengan pegawai kanan diplomatik Malaysia pada 1993 memberitahu beliau pelik kenapa Tun Dr. Mahathir Mohamed tidak memecat Anwar kerana perisikan Singapura mempunyai bukti Anwar homoseksual,” kata Dr Chandra.

Menyokong pandangan Dr Chandra, Prof. Datuk Dr. Sidek Baba juga bertindak meninggalkan Anwar selepas menyiasat dan menemu bual 28 individu yang mempunyai kaitan dengan pemimpin pembangkang tersebut.

”Selepas siasatan itu, saya mengambil keputusan untuk meninggalkan Anwar. Selama 30 tahun saya berkawan dengan beliau dan saya tinggalkan beliau kerana masalah integriti moral serta hubungannya dengan pelobi asing.

Secara analoginya krisis DSAI-TDM adalah seperti perjuangan survival antara satu kumpulan monyet yang riuh melalak-lalak dengan seekor sang singa yang banyak melibatkan kematian pihak kumpulan monyet itu.

Sungguh aneh dan ironinya kerana pada hari ini kita melihat kumpulan monyet itu telah mengangkat sang singa yang telah banyak membunuh ahli kumpulan mereka.

Ahli kumpulan monyet yang sebelumnya riuh rendah seakan kiamat akan tiba, masing-masing menyorok menyepikan diri kerana sang singa berjaya menjinakkan ketuanya dengan janji-janji bulan dan bintang.

Malah MalaysiaToday melihat sokongan DSAI terhadap TDM sebagai satu pengkhianatan yang amat hina dalam sejarah politik Malaysia, terutamanya terhadap penyokong yang terlibat dalam reformasi pada suatu ketika dahulu.

Maka jadilah perjuangan awal mereka sebagaimana bisingnya tong kosong apabila diketuk dan ditendang kerana pengisiannya lopong.