Apakah Masa Depan Politik MB Selangor?

DALAM kesibukan memerhati arena politik negara seminggu-dua ini, kita tergamam membaca dan melihat gelagat parti komponen Pakatan Harapan yang menghentam dan mencerca YAB Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Azmin Ali.

Semuanya bermula daripada gelora jiwa parti komponen untuk menentukan pengagihan kerusi DUN Selangor yang sewajarnya digerakkan oleh YAB MB, sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Raya Pakatan Harapan Negeri Selangor.

Bagi YAB Azmin Ali, jawatankuasa tersebut sudahpun mengadakan empat kali mesyuarat namun baru 80 peratus kerusi pengagihan kerusi diputuskan.

Walau bagaimanapun seperti yang dirungutkan mesyuarat tersebut tidak pula melibatkan wakil parti komponen PH yang lain, dan isu ini membangkitkan kemarahan mereka, terutamanya daripada PAN dan DAP.

 

Kita tidak tahu apa sebenarnya berlaku namun mungkin YAB Azmin mahu PKR yang menentukan pengagihan tersebut bagi memastikan bahawa calon-calon PKR mendapat kerusi yang selamat pada PRU14 ini.

Malahan dengan ketiadaan PAS, ramai pemerhati melihat bahawa YAB Azmin sendiri tidak berada dalam zon yang selamat di Parlimen Gombak kerana dua daripada tiga DUN Parlimen Gombak iaitu Gombak Setia dan Hulu Kelang adalah kubu kuat PAS yang telah dimenangi oleh wakil rakyat parti itu. Hanya Batu Caves dalam parlimen itu yang dimenangi oleh PKR.

Dengan ketiadaan PAS, pastinya YAB Azmin berada dalam zon yang goyah, apatah lagi PAS bersungguh-sungguh berazam untuk menentang PH yang dipercayai didorminasi oleh DAP.

Tidak pula diketahui di manakah YAB Azmin akan bertanding, sedangkan dia pernah menawarkan Parlimen Gombak kepada Tun Dr Mahathir Muhamad.

Kemudian terlontar juga hasrat YAB Azmin untuk bertanding di Parlimen Shah Alam yang telah dimenangi oleh YB Khalid Samad. Walau bagaimanapun Khalid yang telah berpindah dari PAS kepada PAN, memberikan respon negatif kepada YAB Azmin bahawa Shah Alam adalah milik PAN.

 

Malahan pemerhati politik merasa lucu apabila YAB Azmin telah menyatakan hasratnya untuk bertanding di Parlimen Bagan Datuk Perak pula. Sedangkan pada Julai tahun lalu, beliau telah mengeluarkan kenyataan untuk bertanding di Parlimen Pekan, menentang PM Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak.

Nampaknya YAB Azmin seperti kehilangan arah dan sewajarnyalah sedemikian kerana kemenangan pada PRU14 ini akan menentukan survival kerjaya politiknya.

Spekulasi bahawa kedudukan YAB Azmin amat kritikal pada PRU14 ini menjadi lebih ketara apabila terdapat penganalisis yang meramalkan daripada data-data empirikal bahawa YAB Azmin akan tewas jika dia masih mahu bertanding di Parlimen Gombak.

Dalam percaturan survival politik sedemikian, pastinya tindakan tentatif bagi YAB Azmin ialah bekerjasama dengan PAS negeri.

Masalahnya terdapat pula risiko apabila beliau bekerjasama dengan PAS negeri, pastinya akan mendapat tentangan daripada PAS pusat, ditambah pula dengan tentangan daripada DAP dan konco-konconya iaitu PAN dan PPBM. YAB Azmin seperti terperangkap dalam gelanggang maut.

Walau bagaimanapun YAB Azmin cuba menggunakan kuasa MB yang ada padanya untuk memaksa kerjasama PAS apabila peruntukan kerajaan negeri terhadap DUN dan Parlimen yang diwakili oleh PAS dibekukan.

MalaysiaToday berpendapat, “Tindakan yang dilakukan Azmin ini dipercayai sebagai satu bentuk tekanan ekoran pendirian PAS yang tidak lagi mahu bekerjasama dengan PKR menjelang PRU akan datang.

Tanpa peruntukan tersebut, program-program kebajikan dan bantuan kepada rakyat di kawasan Melayu-Islam itu akan terjejas teruk. Mungkin YAB Azmin gagal melihat implikasi pembekuan itu terhadap masa depannya.

Kini segala tindak-tanduk YAB Azmin pada mata PAN dan DAP dipersepsikan sebagai menderhakai pemuafakatan dalam PH dan daripada persepsi sedemikianlah maka Pengerusi PAN Selangor, Izham Hashim tidak lagi beradap sehingga melabelkan YAB Azmin sebagai ‘badut’.

Kata Izham, “Tidak ada (rundingan kerusi). Dia ini badut. Bila masa kita bincang kerusi? Hanya PKR yang bincang tentang soal itu, tidak ada yang bincang dengan mereka,” katanya yang dipetik daripada Malaysiakini.

Manakala Azmin pula dalam isu Mesyuarat Jawatan Kuasa Pilihan Raya PH mengatakan bahawa:

“AMANAH berbohong…AMANAH tidak mengatakan yang benar, AMANAH tidak amanah.

Kedudukan YAB Azmin bertambah parah apabila bekas MB, Tan Sri Khalid Ibrahim telah mengeluarkan kenyataan bahawa beliau akan membantu PAS untuk menguasai Selangor.

Pengaruh TS Khalid dalam kalangan rakyat Selangor dilihat oleh pemerhati politik sebagai amat signifikan kerana tindakan ‘Langkah Kajang’ yang dilaksanakan oleh PKR tempoh hari tidak direstui oleh rakyat Selangor. Ia dilihat sebagai satu muslihat politik PKR yang tidak bermoral.

Keadaan ini diluka-parahkan lagi oleh isu kemurkaan Sultan Selangor terhadap kenyataan balas Zaid Ibrahim terhadap titah baginda yang menegur ahli-ahli politik yang membangkitkan isu sensitif bagi kepentingan peribadidengan tujuan memancing undi. Zaid adalah ahli DAP.

Dalam isu tersebut, YAB Azmin sebagai Menteri Besar Selangor telah dikritik kerana tidak langsung mengambil apa-apa tindakan untuk membela kemurkaan baginda Sultan.

Semuanya bermula apabila Tun Dr Mahathir melontarkan kata kesat ‘Bugis sebagai bangsa lanun’ untuk menghalalkan kempen kleptokrasinya terhadap Datuk Seri Najib. Faktor ini juga dilihat akan membawa risiko besar kepada PH.

Dalam pada itu rakyat jelata diasak pula dengan pandangan bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Muhammad Mat Taib yang pada Nov lalu, mendakwa bahawa kerajaan negeri Selangor di bawah pimpinan Datuk Seri Azmin Ali telah menafikan hak lebih kurang 4,000 pelajar Melayu di negeri itu apabila kerajaan negeri membuat keputusan untuk menutup Yayasan Selangor yang diilhamkan oleh Datuk Seri Harun Idris.

Kata Tan Sri Muhammad, “Tetapi hari ini, adalah sesuatu yang amat mengecewakan bagi saya apabila kerajaan negeri mengambil keputusan untuk menutup Yayasan Selangor itu. Ini secara tidak langsung, kerajaan negeri telah menyekat atau menafikan hak anak-anak Melayu luar bandar untuk mendapat bantuan bagi melanjutkan pelajaran mereka.

Rakyat jelata sedang menilai pentadbiran YAB Azmin dari aspek integriti, rasuah, serta kesungguhan beliau membela syiar Islam. Namun rakyat terkedu apabila melihat sarang maksiat dan pusat judi tumbuh bagaikan cendawan selepas hujan. YAB Azmin juga sanggup memberi laluan terhadap Pesta Arak yang direstui DAP tempoh hari.

KLXpress mendedahkan bahawa setelah Pakatan Rakyat dan kemudiannya PH memerintah Selangor:

Rumah urut bertambah menjadi hampir 25,591 buah di Selangor, 6,000 daripada rumah urut ini menawarkan khidmat seks menurut pendedahan yang dibuat oleh ahli parlimen Kuala Selangor.

 Selain itu, pusat judi juga turut bertambah di Selangor menjadi 19,971 buah pusat judi daripada hanya 128 sahaja pada tahun 2008.

Hotel bajet juga bertambah dari sejumlah 68 buah pada tahun 2008 menjadi 23,583 buah di Selangor. Kelab dan pub juga bertambah. Pada tahun 2008 hanya ada sejumlah 38 sahaja lesen kelab dan pub diluluskan di Selangor, kini sudah berjumlah 9,394 buah kelab dan pub di Selangor.

Siapa yang meluluskan pertambahan rumah urut, pusat judi, kelab dan pub ini di Selangor? Siapa yang menguasai dan berada sebagai ahli majlis dalam Pihak Berkuasa Tempatan di Selangor?

Kita tidak pasti apakah, pengundi pada PRU14 ini akan menutup sebelah mata terhadap apa yang mereka dapat perhatikan di Selangor khususnya di bawah pentadbiran YAB MB Azmin Ali.

Namun perbalahan antara parti komponen PH iaitu PAN, DAP dan PPBM yang menyerang pemimpin PKR dengan kata-kata dan pelabelan yang kesat, pastinya telah membina suatu fobia terhadap rakyat. DS Wan Azizah, Presiden PKR, nampaknya seperti mendiamkan diri sahaja. Namun pemerhati politik tahu bahawa wujud juga krisis antara beliau dengan YAB Azmin.

Buat masa ini, PH belum lagi menguasai kerajaan Persekutuan. Caci-cerca sesama mereka dalam kalangan pemimpin parti komponen PH terhambur dalam media, seperti sudah hilang budi bahasa. Mereka lupa bahawa YAB Azmin adalah Menteri Besar Selangor. Apakah mereka akan menghormati rakyat Selangor?

Bagaimanakah pula nanti sekiranya PH yang didorminasi DAP menguasai Dewan Rakyat dan Dewan Negara?