Iklan Jawatan Kosong: ADUN/Ahli Parlimen Lawan BN

Kelulusan : Kemahiran Memfitnah
Kelulusan Akademik : Sekurang-kurangnya Lulus Tingkatan 3
Pengalaman : Pernah Memfitnah/Tukang Fitnah
Gaji ADUN : RM11,000 sebulan
Gaji Ahli Parlimen : RM16,000 sebulan

DARIPADA pengamatan kita, terdapat pemimpin parti-parti tertentu yang secara mendadak jadi terkenal kerana tuduhan-tuduhan palsu yang direka dan digubah terhadap sesuatu isu yang mencemarkan nama baik BN.

Ia digubah seakan-akan tuduhan itu benar atau dibuat supaya rakyat memberikan persepsi bahawa tuduhan itu benar. Tuduhan liar sedemikian akan diulang dan diulang dalam media sosial dan media pembangkang yang akhirnya menular sehingga ia ditanggapi benar.

Rakyat yang rabun, pekak dan tiada masa untuk mencari verifikasi atau pembuktian, terus termakan dengan fitnah politik golongan ini dan melihat bahawa tokoh pemfitnah sedemikian sebagai wira politik.

Kejahilan rakyat dan khalayak turut menyumbang untuk menularkan fitnah tersebut dalam media sosial tanpa menyelidik dan mencari verifikasi untuk mensahihkan tuduhan liar dan fitnah berkenaan.

Fenomena kejahilan ini selari dengan propaganda Nazi German yang memegang prinsip bahawa, If you tell a lie big enough and keep repeating it, people will eventually come to believe it (Sekiranya sesuatu pembohongan yang besar diulang dan terus diulang, maka orang ramai akan akhirnya mempercayai fitnah itu).

Kerana termakan dengan fitnah berkenaan, lalu wira fitnah iitu diangkat untuk bertanding dalam pilihan raya oleh parti pembangkang, seakan-akan mereka adalah pemimpin sejati untuk membela rakyat.

Oleh kerana hebatnya fitnah mereka, kepetahan dan kebijaksanaan mereka memanipulasi, putar belit dan membina justifikasi yang ditanggapi benar, maka mereka dapat memenangi undi majoriti pilihan raya lantas diangkat sebagai YB ADUN atau Ahli Parlimen.

Apakah cukup dengan modal memfitnah orang lain, pemimpin sedemikian boleh membela kehidupan dan kebajikan rakyat tanpa agenda pembangunan, sebaliknya mengutuk perancangan kerajaan untuk masa depan rakyat dan negara?

Kerana tiada iltizam (commitment) yang tulus ikhlas mahu membela kehidupan rakyat kecuali kemahiran memfitnah, mereka terus dengan ‘tugas hakiki’ mereka mencari isu-isu rasuah, penipuan, perniagaan, kronisme, nepotisme, 1MDB, penyelewengan pilihan raya, kleptokrasi, demonstrasi, blackout dan apa sahaja yang boleh menjadi modal fitnah mereka.

Tian Chua mengaku gambar ini palsu dan juga mengakui dia mengubahsuai gambar tetapi enggan memohon maaf.

Malahan gambar yang diedit (doctored pictures) juga boleh menjadi bahan fitnah apabila mereka ketandusan modal.

Dengan itu iltizam mereka tidak lain dan tidak bukan, sebagai ADUN atau Ahli Parlimen, adalah fitnah dan fitnah semata-mata. Nama mereka terus dijulang kerana fitnah dan fitnah dan fitnah.

Apabila parlimen mahu menggubal undang-undang bagi mengekang penyebaran berita palsu, dengan pantas pihak pembangkang menentang.

Sedangkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Azalina Othman Said telah menjelaskan bahawa undang-undang tersebut tidak seperti Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang menyekat kebebasan bersuara dan tahanan tanpa bicara.

DS Azlina menegaskan bahawa cadangan penggubalan ‘akta mengekang penyebaran berita palsu’ itu seharusnya disambut baik oleh semua pihak termasuk pembangkang kerana ia dibuat berdasarkan kepada perkembangan semasa dan kesannya yang besar terhadap negara.

Walau bagaimanapun Pengerusi PPBM, Tun Dr Mahathir dan Pengerusi DAP, Lim Kit Siang awal-awal lagi telah menentang penggubalan undang-undang tersebut yang akan dibentangkan di parlimen Mac 2018 ini.

Sebagaimana dilaporkan oleh Utusan Online, sikap pemimpin pembangkang khususnya penasihat DAP, Lim Kit Siang menolak usaha kerajaan untuk mewujudkan undang-undang bagi membendung berita palsu menimbulkan banyak persoalan.

Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Annuar Musa turut khuatir dengan kecenderungan pembangkang menggunakan berita palsu sebagai senjata terakhir mereka bagi meraih sokongan rakyat pada pilihan raya akan datang.

“Pelaksanaan undang-undang itu bukan untuk kepentingan kerajaan semata-mata, bahkan untuk kemaslahatan semua pihak. Adakah pihak pembangkang suka apabila mereka menjadi alat atau mangsa berita palsu? Saya percaya mereka juga tidak suka.

“Namun, kenapa Kit Siang cuba menolak usaha berkenaan? Sebab saya percaya mereka (pembangkang) merancang untuk menggunakan berita palsu sebagai senjata terkahir bagi menghadapi kempen pilihan raya nanti sebagaimana yang telah berlaku pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) lalu,” kata Annuar lagi.

Berita palsu atau secara dasarnya ‘fitnah’ bukan sahaja menjejaskan sistem demokrasi malah turut menggugat kebebasan bersuara selain menjadi ancaman kestabilan politik mahupun dalam negara apatah lagi dari aspek geopolitik atau pentas antarabangsa.

Presiden Perancis, Emmanuel Macron dan Perdana Menteri Britain, Theresa May mendakwa, pilihan raya di negara mereka telah diselubungi dengan berita palsu dan fitnah yang mempengaruhi rakyat jelata yang tidak mengambil inisiatif untuk mencari verifikasi bagi membenarkan fitnah berkenaan.

Kedua-dua pemimpin tersebut turut mendakwa negara seteru mereka terutama Rusia terlibat dalam penyebaran berita palsu dan fitnah sehingga menjejaskan proses pilihan raya berkenaan.

Pada 7 Feb lalu, Ahli Parlimen Pandan, Mohd. Rafizi Ramli yang juga merupakan Naib Presiden PKR dijatuhi hukuman penjara 30 bulan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini kerana melanggar Akta Perbankan dan Institusi Kewangan (BAFIA).

Rafizi yang terkenal gemar mencetuskan kontroversi melalui fitnah telah didapati bersalah mendedahkan dokumen penyata baki akaun bank milik Perbadanan Fidlot Kebangsaan (NFC), National Meat & Livestock Sdn. Bhd. dan Agroscience Industries Sdn. Bhd., enam tahun lalu.

Walaupun ia merupakan kesalahan di bawah BAFIA, namun pengkritik melihat bahawa Rafizi memang popular dengan pendekatan fitnah sebagai modal untuk survival politiknya.

Seorang Peguam Kanan, Tan Sri Dr Muhammad Shafee berpandangan, Mohd. Rafizi yang juga Ahli Parlimen Pandan itu sengaja ingin memperdayakan orang ramai bagi meraih populariti demi kelangsungan karier politiknya. Sebagai pemimpin yang mempunyai latar belakang seorang akauntan, sepatutnya Mohd. Rafizi lebih arif dan menyedari perbuatannya mendedahkan maklumat perbankan itu adalah jenayah yang serius.

 

Malah dalam kalangan netizen, Rafizi dilabelkan sebagai tokoh hebat dalam hal pendedahan yang tidak berasas, sebaliknya hanya bertunjangkan tanggapan liarnya. Netizen telah menggelarnya ‘Raja Fitnah’.

Pada tahun 2016 sahaja terdapat empat kes yang dibawa ke mahkamah dan mendapati Rafizi bersalah. Kes-kes tersebut secara kasarnya diterjemahkan oleh penganalisis politik sebagai fitnah.

Malah rakyat sudah muak dengan tingkah-laku Rafizi yang menjadikan fitnah sebagai modal politiknya. Bagi Rafizi semua pendedahan yang dibuatnya adalah untuk kepentingan rakyat, sedangkan inipatinya adalah berlegar pada bahan dan berita palsu yang lewah dengan fitnah.

BNBBC telah mendedahkan SEPULUH pembohongan Rafizi, yang sekali gus merosakkan reputasi PKR di mata rakyat, kecualilah rakyat buta, rabun, bisu dan tuli. Pendedahan BNBBC adalah seperti berikut:

  • Pada 12 Januari 2013, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang ketika itu Menteri Pertahanan telah mengemukakan saman malu ke atas Rafizi kerana menerbitkan artikel fitnah dalam blognya.
  •  Pada 6 Ogos 2014, Rafizi kata PAS tolak Anwar sebagai PM dan mahu Ku Li sebagai PM dalam “Forum : Krisis Selangor :Pakatan Berpecah?” di Dewan Perhimpunan Cina-Kuala Lumpur. 6 September 2014, Hadi Awang menjawab balik bahawa tuduhan Rafizi itu adalah cerita fitnah.
  • Pada 12 Julai 2014, laporan polis dibuat oleh AJK PKR Kapar iaitu Wan Adnan yang mendakwa Rafizi telah menyalahgunakan nama DYMM Sultan Selangor dalam isu menukar Menteri Besar Selangor.
  • Pada 6 Ogos 2014, Tan Sri Khalid Ibrahim menang saman fitnah terhadap Saifuddin Nasuiton, Rafizi Ramli dan PKR kerana memfitnahnya melakukan salah laku sepanjang menjadi MB Selangor.
  • Pada 22 Nov 2014, Perdana Menteri dan Datin Seri Rosmah memfailkan saman malu terhadap Rafizi. Kemudian Rafizi balas ‘hanya melakukan gurauan’ setelah memfitnah subsidi minyak masuk ke dalam akaun PM dan isteri untuk membeli cincin baru.
  • Pada 26 Januari 2016 lalu, Rafizi didenda RM1,800 oleh Mahkamah Sesyen kerana menuduh UMNO terlibat dalam serangan terhadap gereja menggunakan Molotov dalam satu artikel yang diterbitkan di The Edge Financial Daily pada 2014.
  • Pada 7 Mac 2012, Rafizi membuat kenyataan berunsur fitnah pada sidang media di Pejabat PKR berhubung pembelian hartanah KL Eco City, yang mana ia telah disiarkan di portal Malaysiakini. 31 Oktober 2016, Rafizi diarah bayar denda RM300,000 oleh Mahkamah Tinggi kerana memfitnah syarikat NFC.
  • Pada 1 November 2016, Mahkamah Sesyen menjatuhkan hukuman denda RM1,950 kepada Rafizi Ramli setelah mengaku bersalah menganjurkan himpunan haram “Blackout 505”
  • Pada 14 Nov 2016, Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur jatuhkan hukuman penjara 18 bulan terhadap Rafizi setelah didakwa memiliki secara salah halaman 98 laporan Ketua Audit Negara berkaitan 1MDB. Rafizi didakwa melanggar Seksyen 8(1)(c)(iii) OSA 1972. Rafizi juga dituduh mengedarkan dokumen sulit tanpa kebenaran itu di lobi parlimen pada 28 Mac 2016 dan ia didakwa melanggar Seksyen 8(1)(e)(iv) akta yang sama.
  • Pada 11 April 2017, Rafizi diminta bertaubat oleh Abdul Hadi Awang, Presiden PAS kerana memfitnah PAS terima dana 1MDB.

Meskipun kita tahu bahawa Rafizi mempunyai ijazah namun kaki fitnah yang lain seperti Mahfuz Omar dan Mat Sabu boleh menjadi contoh yang popular untuk menyatakan bahawa pendidikan akademik tidak penting asalkan seseorang politikus itu ada kebolehan memutar-belit dan memfitnah orang lain.

Dengan pendedahan sedemikian, terlintas juga pada fikiran kita bahawa, mudahnya untuk menjadi ADUN / Ahli Parlimen parti-parti politik tertentu kerana kelayakan yang diperlukan hanyalah kemahiran memutar-belit,  memanipulasi, dan memfitnah tanpa memerlukan latar akademik yang tinggi.