Pas Permatang Pauh Usul Putus Hubungan Dengan PKR

Pas Permatang Pauh akan membawa usul memutuskan hubungan dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) ke Muktamar Agung parti itu April ini selepas mendapat keputusan sebulat suara dalam mesyuarat tahunannya, hari ini.

Di-Pertua Pas Permatang Pauh, Omar Hassan berkata keputusan itu dibuat selepas parti pimpinan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail itu dilihat cuba menjejaskan hubungan antara Pas dengan pengundi Melayu-Islam di kawasan tersebut menjelang Pilihan Raya Umum ke-14.

Katanya lagi, PKR juga jelas tidak menghormati Pas sebagai rakan politik kerana masih mengekalkam kerjasama dengan DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah) sebagai sebuah gabungan, Pakatan Harapan (PH).

“Sifat tidak bertanggungjawab oleh PKR ini menunjukkan PKR sangat tidak menghormati prinsip setiakawan dan boleh menjejaskan PAS,” katanya.

Tambahnya, PKR turut mempergunakan sebilangan ahli Pas untuk kepentingan politik mereka tanpa merujuk terlebih dahulu kepada Pas, malah lebih memburukkan keadaan lagi apabila kepimpinan PKR turut didakwa menghasut ahli Pas untuk keluar dari parti.

“PKR didapati sewenang-wenangnya menggunakan sebilangan ahli Pas untuk kepentingan politik PKR tanpa perbincangan terlebih dahulu dengan Pas.

“Malah saya dimaklumkan bahawa ada ahli kami diminta keluar parti supaya kekal memegang jawatan tertentu dalam kerajaan negeri Pulau Pinang,” kata Omar lagi.