Daesh Pembunuh, Bukan Pejuang Mujahid

Pada Jun 2014, kumpulan militan Daesh menabalkan Abu Bakr al-Baghdadi sebagai khalifah umat Islam sedunia yang merangkumi negara Maghribi ke China dan Indonesia.

Penasihat Agama kepada Perdana Menteri, Tan Sri Dr Abdullah Muhammad Zin dalam satu kenyataan berkata, Daesh mahukan seluruh umat Islam patuh dan memberi baiah kepada Abu Bakr dan mendakwa ia akan diberi ganjaran syurga melalui jihad fisabilillah dalam menarik perhatian umum menyertai perjuangan songsang ini.

Menurutnya, Daesh berpegang pada fahaman Salafi Jihadi dan pegangan akidah Khawarij yang bertentangan dengan pegangan Ahli Sunnah Wal-Jamaah.

”Daesh melakukan pengeboman di tempat awam termasuk di Philidelphia, Ankara, Dhaka, Kota Suci Madinah, Solo, Paris, Nice, Jakarta, Dhaka dan di Jerman serta Qamishli, Beirut. Semua insiden membawa angka kematian dan kecederaan yang banyak.

”Lebih menggerunkan, mereka menubuhkan Katibah atau Briged Nusantara untuk negara-negara Asia Tenggara yang meliputi Indonesia, Malaysia, Singapura, selatan Filipina dan selatan Thailand. Abu Bakr al-Baghdadi pernah mengeluarkan arahan supaya anggotanya di luar Syria dan Iraq melakukan serangan berani mati. Serangan di Puchong pada tahun lalu mengesahkan Malaysia sudah terancam secara terbuka dengan kesannya mula terarah meragut nyawa orang awam,” katanya.

Menurutnya, melihat kepada siri pengeboman dan pembunuhan yang dilakukan di tempat awam menunjukkan kumpulan ini tidak mempunyai nilai agama.

”Mereka terikat dengan ketaasuban sehingga sanggup melakukan apa sahaja keganasan. Paling menggerunkan mereka ditanamkan dengan jihad songsang yang menghalalkan darah dan nyawa orang awam kerana beranggapan pihak yang menentang perjuangan mereka adalah kafir dan boleh dibunuh serta mendukung ideologi ‘takfiri’ yang mengkafirkan pihak lain dan ulama yang menentang perjuangan mereka.

“ALLAH SWT berfirman merakamkan hal ini mafhumnya: Wahai Ahli Kitab! janganlah kamu melampau dalam agama kamu secara yang tidak benar dan janganlah kamu menurut hawa nafsu suatu kaum yang telah sesat sebelum ini dan telah menyesatkan ramai manusia serta (sekarang) mereka telah tersesat (jauh) dari jalan yang betul.” (Surah al-Maidah : 77),” katanya.

Diriwayatkan Saidina Ali RA ada berkata: “Jika kalian melihat bendera hitam, maka bertahanlah di bumi. Jangan gerakkan tangan dan kaki kalian. Kemudian akan muncul kaum lemah. Hati mereka seperti potongan besi. Mereka (mengaku) pemegang kekuasaan. Mereka tidak menepati janji. Mereka mengajak kepada haq namun mereka bukan orang yang benar. Nama mereka menggunakan kunyah dan nisbat mereka menggunakan nama daerah. Rambut mereka terurai seperti wanita, hingga mereka berselisih di antara mereka. Kemudian ALLAH mendatangkan kebenaran kepada apa yang dikehendaki-Nya.” (Riwayat Abu Nuaim dalam Kanz al-Ummal, juz 11, muka surat 283).

Kata Dr Abdullah, peringatan Sayidina Ali RA ini ada kebenarannya dengan ciri-ciri militan Daesh hari ini. Militan Daesh kemungkinan besar boleh dikatakan sebagai percaturan politik Zionis Israel. Kemunculan mereka diharapkan memanjangkan lagi ketidakstabilan di rantau Asia Barat supaya kepentingan Israel tidak diganggu gugat oleh mana-mana pihak.

Abdullah menjelaskan, objektif utama jihad mewujudkan sistem kehidupan yang membawa kesejahteraan bukan kemusnahan dan pembunuhan. Islam tidak menganjurkan aktiviti keganasan. Islam menjamin kedamaian, keselamatan dan kesejahteraan sejagat. Al-Quran jelas mengehadkan peperangan hanya dibenarkan apabila diserang. (Surah Al-Hajj: 39 dan Surah Al-Baqarah: 190).

”Peperangan merupakan pilihan terakhir setelah semua usaha perdamaian tidak dapat disepakati. Islam meletakkan etika berperang dengan teliti melalui larangan membunuh wanita, kanak-kanak, orang tua dan mereka yang uzur, merosakkan rumah ibadah agama lain, membunuh binatang ternakan, tanam-tanaman dan sebagainya. Sirah merakamkan pembukaan Kota Andalus oleh tentera Islam yang memberikan perlindungan kepada orang Yahudi dan Kristian, namun berbeza dengan penaklukan semula tentera Katolik yang memberi kata dua kepada umat Islam sama ada dibaptis atau dibunuh.

”Militan Daesh melakukan perkara bercanggah dengan Islam serta membawa kekufuran kerana menyebabkan pertumpahan darah sesama Muslim. Jika benar organisasi militan Daesh hari ini mengaku sebagai pendukung agama Islam, bukan sedikit larangan ALLAH SWT yang telah dicabuli. Kematian mereka bukanlah syahid,” katanya.

Beliau mengingatkan, jihad sebenar hari ini ialah jihad meningkatkan ilmu pengetahuan, menghapuskan kejahilan, meningkatkan ekonomi umat sekali gus menghapuskan kemiskinan. Inilah antara jihad yang sebenar. Salah faham dalam hal ini membawa persepsi bahawa jihad itu adalah mengangkat senjata dan perang.

”Umat Islam seharusnya mentadabbur al-Quran dan meneliti sunnah Rasulullah SAW berjihad secara bersenjata dan peperangan, kenapakah peperangan dibenarkan. Jihad dengan peperangan diizinkan oleh ALLAH SWT kerana umat Islam dizalimi oleh orang kafir kerana mengesakan ALLAH SWT. Mereka dizalimi, harta benda mereka dirampas dan diusir dari tanah air.

”Ketika itu ALLAH SWT mengizinkan untuk berperang demi mempertahankan diri di samping menjaga keutuhan agama Islam itu sendiri. Jihad tidak boleh digunakan sewenang-wenangnya seperti dakwaan militan Daesh hari ini yang berperang sesama Islam. Saya suka mencadangkan anak-anak muda hari ini melupakan pengertian dan tindakan militan serta kekerasan sebagai jihad. Fahamilah jihad dalam erti kata sebenar.

”Jika mahu berjihad, berjihadlah terlebih dahulu menentang hawa nafsu dan paling utama jihad menjadi pelajar yang cemerlang. Itulah jihad yang paling utama. Jihad merupakan usaha memperbaiki diri dan umat, bukan mengangkat senjata seperti yang diuar-uarkan. Inilah wasatiyyah jihad seorang Muslim,” katanya. – SINAR HARIAN