Menarik
Tarikh Hari Ini
18 October 2017

Peniaga Dalam Talian Perlu Dedah Lapan Maklumat Penting Kepada Pembeli

Di bawah Peraturan-peraturan Pelindungan Pengguna (Urus Niaga Perdagangan Elektronik) 2012 yang telah digariskan di bawah Akta Pelindungan Pengguna 1999, telah dinyatakan bahawa para peniaga yang menawarkan produk dan perkhidmatan dalam talian perlu memenuhi lapan kehendak peraturan.

Menurut Pengarah Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDNKK), Datuk Mohd Roslan Mahayudin, peniaga dalam talian perlu mendedahkan maklumat nama orang di dalam perniagaan itu, nombor perniagaan dan syarikat, alamat e-mel dan nombor telefon serta ciri produk dan perkhidmatan yang ditawarkan.

Selain itu, harga penuh, kos pengangkutan, cukai dan kos lain, kaedah pembayaran, terma dan syarat serta anggaran masa penghantaran kepada pembeli juga perlu dinyatakan.

“Selama ini kita memang mendapat banyak rungutan dan aduan daripada kalangan para pengguna antaranya mereka tidak mendapat penjelasan tentang harga daripada para penjual, tidak puas hati dengan barang yang diterima kerana deskripsi barangan dan perkhidmatan tidak sama seperti yang diiklankan di media sosial, kata Mohd Roslan kepada BERNAMA PLUS.

Menurut beliau lagi, tujuan peraturan ini diwujudkan adalah untuk melindungi para pengguna supaya apabila timbul masalah seperti barang yang diterima berbeza daripada yang diiklankan pengguna dapat membuat aduan dan pihak KPDNKK dapat menjalankan siasatan tanpa sebarang kekangan.

Berkaitan perihal PM tepi (pesanan peribadi) di media sosial, ia menjadi satu kesalahan apabila para peniaga masih tidak mendedahkan kelapan-lapan maklumat yang telah digariskan walaupun pembeli sudah mengambil inisiatif menghantar pesanan peribadi terus kepada peniaga.

“Pihak KPDNKK membenarkan PM tepi untuk para pembeli mendapatkan maklumat lanjut, tetapi syarat utama untuk para peniaga dalam talian adalah meletakkan harga kerana secara logiknya juga mereka tidak boleh hanya meletakkan gambar sahaja tanpa menyatakan jenama, harga mahupun model untuk sesuatu produk yang ditawarkan.

PM tepi itu mungkin untuk melakukan tawar menawar, itu terpulang, tetapi syarat tentang mempamerkan harga itu adalah penting,” tegas beliau.

Susulan daripada itu, untuk pihak penguatkuasa KPDNKK mengambil tindakan terhadap para peniaga yang tidak mematuhi peraturan yang ditetapkan, para pengguna perlu melaporkan kesalahan yang berlaku.

Peraturan untuk para peniaga memenuhi lapan kehendak yang disebutkan tadi telah berkuatkuasa pada 1 Julai 2013 namun pihak KPDNKK memberikan tempoh untuk para peniaga dalam talian mematuhi peraturan ini sehingga bulan September.

“Pihak KPDNKK akan mengambil tindakan tegas bermula bulan September jika terdapat aduan daripada para pengguna,” kata Mohd Roslan.

Mana-mana peniaga yang gagal mematuhi peraturan ini dan jika kes mereka dibawa ke mahkamah, untuk individu mereka boleh dikenakan denda maksimum RM50,000 atau tiga tahun penjara.

Manakala untuk syarikat yang disabitkan kesalahan denda tidak melebihi RM100,000 akan dikenakan.

Mohd Roslan turut memberikan saranan kepada para pembeli supaya sentiasa peka dengan hak-hak mereka sebagai pengguna dan terus membuat aduan jika mereka merasakan hak-hak itu dicabul.

“Selagi para pengguna tidak menyuarakan masalah yang mereka hadapi ketika berurusan dengan para peniaga dalam talian kepada pihak berkuasa selagi itulah para peniaga ini tidak akan berdisplin.

Golongan peniaga yang maklum bahawa para pelanggan mereka adalah pengguna yang faham segala hak mereka akan sentiasa terdidik untuk terus menawarkan perkhidmatan dan produk yang terbaik,” kata Mohd Roslan. – BERNAMA