Filem One Heart Papar Kisah Disebalik Tabir Komposer A.R. Rahman

Pemuzik India yang pernah memenangi anugerah Grammy dan Academy, A.R. Rahman meraikan 25 tahun kegemilangannya dalam industri muzik melalui “One Heart: The Concert Film A.R. Rahman” yang ditayangkan di lebih 100 pawagam di Malaysia pada 30 Ogos.

Pemuzik kelahiran Chennai itu, yang berada di sini untuk menghadiri tayangan perdana filem berkenaan di panggung TGV Cinema di Suria KLCC pada 30 Ogos, bertemu ratusan peminat yang berkumpul di situ untuk menyambut dan mengambil gambar bersama beliau.

Penampilan beliau di sambut dengan teriakan para peminatnya, “Kami sayang kamu, Rahman Sir”.

Filem dokumentari selama 90 minit itu menampilkan 15 lagu paling popular yang digubah oleh Rahman, wawancara terperinci serta aktiviti belakang tabir dari konsert sebelumnya.

Beliau juga bercakap tentang hubungan dengan artis-artis yang bekerja dengannya dalam lawatan terbaharu beliau ke serata dunia.

Kumpulan muzik Rahman terdiri daripada penyanyi berbakat Jonita Gandhi, Shiraz Uppal, Haricharan Seshdari dan Annette Philip, serta pemain gitar Keba Jeremiah, pemain biola Anne Marie Calhoun, pemain flut Ashwin Srinivasan, pemain keyboard Karthikeyan Devarajan, pemain gitar bass Mohini Dey dan pengarah muzik terkenal, penyanyi yang juga pemain drum Ranjit Barot.

RAHMAN, SEORANG PENYENDIRI

Sebelum bermula tayangan perdana, Rahman bertemu dengan media Malaysia dan berkongsi mengenai bagaimana tercetusnya idea untuk menghasilkan filem “One Heart” itu.

“Saya menghabiskan banyak masa selama 25 tahun dengan menggubah muzik di studio saya. Saya lebih gemar menyendiri dan minat (terhadap muzik) memberikan saya tahun-tahun yang penuh kebahagiaan.

“Tetapi dalam lawatan ke Amerika Syarikat (pada 2015), selepas lima atau enam konsert, sebagai pemuzik yang membuat persembahan setiap hari, kami dapat rasakan sesuatu yang sangat hebat sedang berlaku. Jadi saya memutuskan untuk membuat sesuatu yang berbeza. Lantas, saya mengambil kamera untuk mendokumentasikan keseluruhan konsert itu.”

Beliau menyimpan rakaman itu untuk beberapa ketika sehinggalah apabila sebuah syarikat penerbitan YM Movies memutuskan untuk menjadikannya sebuah filem dokumentari.

“Itu mendorong saya supaya menyiapkannya, dan di sini kami ada sebuah filem, yang mempunyai jalan cerita tersendiri, bersulam dengan pelbagai perasaan cinta, minat dan butiran rumit mengenai muzik hari ini,” katanya.

Rahman, yang digelar “Mozart Madras” dan memenangi dua Oscar untuk lagu pada 2008 dalam filem terkenal Hollywood “Slumdog Millionaire”, berkata semua hasil daripada filem itu diberikan kepada One Heart Foundation, satu inisiatif baharu yang dipeloporinya untuk membantu pemuzik-pemuzik lama/tua dan keluarga mereka.

MUZIK SEBAGAI UBAT

Menjawab satu soalan, Rahman berkata ketika mula terlibat dengan muzik pada tahun-tahun awalnya, beliau menemui kekuatan kasih sayang untuk mengubah minda orang ramai memandangkan pada ketika itu dunia sedang menghadapi beberapa dugaan seperti serangan 9/11 (Menara Berkembar di New York pada 2001) dan perbezaan budaya.

Beliau bukan sahaja merasakan bahawa orang ramai perlu diingatkan tentang kasih sayang malah mendapati muzik sebagai alat yang sangat sesuai untuk tujuan berkenaan.

“Dengan adanya kesemua konflik itu, saya melihat muzik sebagai ubat dan sangat mendamaikan, dan ia memberikan harapan untuk meneruskan kehidupan. Itulah sebabnya saya selalu mengembara dan memutuskan untuk meneruskan sumbangan melalui muzik.

“Kita perlu ada sebab untuk membuat sesuatu itu secara bersungguh-sungguh, jika tidak kita akan rasa kita telah buat segalanya, ” katanya.

Rahman, yang banyak menggubah lagu-lagu Tamil dan Hindi, juga diminta mengulas tentang penonton yang mahu beliau menyampaikan lagu dalam bahasa pilihan mereka.

Menurut beliau, penontonnya terdiri daripada pelbagai golongan etnik, “dan saya perlu teruskan, ikut kehendak ramai dan mereka akan faham juga ada muzik untuk semua. Segalanya bergantung pada pemikiran masing-masing.”

Pengarah muzik Ranjit Barot kemudiannya mencelah bahawa Rahman telah menggubah lebih 600 lagu dan pada setiap konsert, mereka menghadapi tugas yang besar memilih hanya beberapa buah lagu untuk senarai persembahan.

“Ini adalah masalah besar kerana terdapat banyak lagu dalam semua bahasa yang disukai oleh penonton di seluruh dunia, ” kata Barot.

Selain itu, Rahman berkongsi pengalamannya mempelajari perkara baru ketika menghasilkan filem “One Heart” yang tidak diketahui oleh komposer muzik itu, seperti menggunakan kamera, mengarah, menulis skrip dan melakukan kerja-kerja pasca penerbitan.

“Banyak yang perlu saya belajar untuk percubaan pertama ini, ” katanya, sambil menambah bahawa proses itu membuatkan beliau berasa muda.

Apabila ditanya siapa yang beliau ingin adakan kerjasama, beliau lantas menjawab “Michael Jackson”. Rupa-rupanya, Raja Pop itu pernah menyatakan minatnya untuk bekerjasama dengan Rahman dan mereka berdua pernah bertemu sebanyak dua kali hanya empat bulan sebelum bintang tersohor itu meninggal dunia pada 25 Jun 2009.

“Kami hampir mempunyai rancangan (untuk bekerja) bersama-sama, ” katanya, sambil menambah bahawa filem dokumentari “?One Heart” adalah selari dengan filem konsert Michael Jackson “This Is It” yang dikeluarkan pada Oktober 2009.

MUNGKIN MENGARAH FILEM DI MALAYSIA

Sementara itu, pengarah urusan Malik Streams Corporation, Datuk Abdul Malik Dasthigeer, yang memegang hak pengedaran untuk “One Heart” di Malaysia, memberitahu pemberita bahawa beliau merancang untuk menjadikan Malaysia sebagai hab destinasi bagi industri filem India bagi menggalakkan lebih ramai pelancong melawat Malaysia.

Beliau menambah bahawa belum ada sebarang rancangan untuk Rahman mengadakan konsert lain di Malaysia. Konsert terakhir pemuzik itu di Kuala Lumpur adalah pada Mei tahun lepas.

“Sebenarnya, belum ada rancangan untuk konsert lagi tetapi kita sedang membincangkan cadangan yang saya buat ketika di India.

“Ia bukan sekadar konsert. Malah, Rahman merancang untuk mengarah filem di Malaysia. Saya tidak dapat mendedahkan banyak maklumat kerana perbincangan masih dijalankan,” kata Abdul Malik.

Abdul Malik, penyanyi bersama bintang Tamil Rajnikanth, “Kabali” pada tahun lepas, juga mendedahkan bahawa beliau merancang untuk membawa kira-kira 100 artis filem Bollywood dan Kollywood untuk menonton perlawanan kriket di Stadium Bukit Jalil pada Disember depan.

Rancangan juga termasuk untuk mendapatkan para artis menyertai perlawanan persahabatan bola sepak menentang Malaysia.

“Kami belum menetapkan tarikh yang tepat”, katanya. Beliau juga enggan memberikan butiran lanjut tentang rancangannya.

“One Heart: The A.R.Rahman Concert Film” kini ditayangkan di pawagam-pawagam di seluruh negara. – BERNAMA