Menarik
Tarikh Hari Ini
17 August 2017

AS, Russia Perlu Ada Hubungan Baik, Kata Obama

Amerika Syarikat (AS) perlu memiliki hubungan ‘membina’ dengan Russia, kata Presiden Barack Obama. Bagaimanapun, beliau mengakui hubungan bertukar kepada ‘semangat perseteruan’ apabila Vladimir Putin menjadi Presiden.

“Saya fikir menjadi kepentingan AS dan dunia untuk kita memiliki hubungan membina dengan Russia.

“Ia adalah pendekatan saya sepanjang menerajui Rumah Putih,” katanya dalam sidang media akhir sebelum menyerahkan kuasa kepada Donald Trump.

Obama berkata, apabila Putin memulakan penggal kedua sebagai Presiden Russia pada 2012, ‘retorik anti-Amerika’ menjurus kepada bertambahnya ‘semangat permusuhan’, menjadikan hubungan dua pihak lebih sukar.

Trump bercadang menjadikan pemulihan hubungan AS dan Russia satu keutamaan.

Agensi perisikan AS merumuskan Moscow campur tangan dalam Pilihan Raya Presiden November lalu, menyasar untuk melencongkan sokongan rakyat kepada Republikan.

Pada masa sama, Obama secara lembut menegur cadangan Trump bahawa AS mungkin menamatkan sekatannya ke atas Russia berkaitan Ukraine sebagai pertukaran pengurangan simpanan senjata nuklear.

“Menjadi tanggungjawab Amerika untuk memastikan kita tidak keliru mengapa sekatan ini dikenakan sebagai tindakan keseluruhan bersama isu lain,” katanya. – AFP