AS Senarai Lebah Kuning Sebagai Serangga Terancam

Pihak berkuasa Amerika Syarikat (AS) menyenaraikan salah satu spesies lebah yang dijumpai di benua Amerika sebagai serangga terancam ekoran penurunan bilangannya sejak beberapa bulan lalu.

Peraturan penyenaraian spesies serangga berkenaan sebagai antara hidupan yang terancam telah dikeluarkan dalam Senarai Persekutuan edisi 11 Januari yang akan berkuat kuasa pada 10 Februari depan.

“Spesies lebah kuning kini semakin sukar ditemukan dan berada di ambang kepupusan.

“Bilangan spesies lebah itu menjunam sehingga 87 peratus, meninggalkan hanya sebahagian kecil populasinya di 13 ne­geri berbanding 28 negeri pada 1990-an,” jelas Perkhidmatan Hidupan Liar dan Ikan AS (FWS) dalam satu kenyataan.

Pakar mengatakan lebah adalah hidupan utama yang membantu proses pendebungaan tanaman penting seperti tomato, kranberi dan lada di seluruh Amerika Tengah dan Utara termasuk beberapa bahagian di Kanada.

Namun populasi lebah ter­se­but dikatakan semakin ber­kurangan akibat penggunaan racun perosak yang tinggi, penularan penyakit serta per­ubahan iklim mendadak yang memberi kesan langsung kepada hidupan dan habitatnya.

“Keutamaan kami adalah untuk bertindak dengan cepat bagi mengelakkan kepupusan serangga kecil yang banyak membantu perkembangan pertumbuhan hidupan di sekeli­lingnya,” jelas Pengarah Serantau FWS, Tom Melius.

Akhir tahun lalu, tujuh jenis lebah yang dijumpai di Hawaii turut diletakkan dalam Senarai Persekutuan AS sebagai spesies terancam. – AFP