Banjir Buruk Ragut Lebih Banyak Nyawa

Jumlah mang­sa yang terkorban akibat banjir terburuk di selatan Thailand sejak beberapa dekad ini meningkat kepada 43 orang dengan jangkaan hujan lebat akan berterusan mulai hari ini sehingga Rabu ini.

Menurut Jabatan Mitigasi dan Perlindungan Bencana Thailand, kebanyakan mangsa terbunuh akibat lemas.

Setakat ini, lebih 1.6 juta penduduk di 12 buah wilayah terjejas teruk apabila hujan lebat menyebabkan berlakunya banjir kilat di negara ini.

Biarpun keadaan banjir di selatan negara ini semakin pulih tetapi beberapa kawasan masih lagi ditenggelami air.

Jurucakap kerajaan, Sansern Kaewkamnerd berkata, pihak kerajaan berjaya menyalur keluar air yang melimpah dan mengorek laluan air bagi persiapan menghadapi hujan lebat yang dijangka minggu ini.

Penduduk juga dinasihatkan untuk memindahkan barang keperluan masing-masing ke kawasan lebih tinggi dan peka terhadap sebarang pengumuman rasmi kerajaan.

Sementara itu, laman sesawang Khaosod memaklumkan, seekor buaya berukuran lima meter panjang yang terlepas dari zoo di Nakhon Si Thammarat pada minggu lalu berjaya ditangkap dan dikembalikan ke lokasi berkenaan.

Minggu lalu, Perdana Menteri Thailand, Prayut Chan-o-cha menyifatkan hujan lebat luar biasa dan banjir kilat di selatan negara ini adalah yang terburuk dalam tempoh 30 tahun. – DPA