Kebakaran 50 Hektar Hutan Musnah Kediaman di Chile

Kebakaran hutan di kawasan seluas 50 hektar dan memusnahkan kediaman dekat bandar pelancongan, Valparaiso di barat Chile menyebabkan pihak berkuasa memindahkan beratus-ratus penduduk pada Isnin.

Pejabat Kecemasan Negara (ONEMI) dalam kenyataan berkata, sekurang-kurangnya seorang dilaporkan cedera selepas kebakaran berlaku dekat bandar pelabuhan bersejarah.

Gambar menerusi televisyen menunjukkan asap tebal memenuhi jalanan di kampung Laguna Verde, di mana kebakaran bermula.

ONEMI berkata, api memusnahkan lima kediaman dan 50 hektar kawasan hutan serta dilaporkan tiada kehilangan nyawa buat masa ini.

Agensi itu berkata, kira-kira 200 orang dipindahkan dari kediaman mereka sebagai langkah berjaga-jaga.

Sementara itu, syarikat penyedia bekalan elektrik berkata, mereka terpaksa memutuskan bekalan kepada kira-kira 48,000 pelanggan sebagai langkah berjaga-jaga. – AFP