Penyerang Kelab Istanbul Dikenal Pasti

Pihak berkuasa Turki telah mengenal pasti identiti penyerang yang melancarkan serangan berdarah di sebuah kelab di Istanbul yang turut meragut sekurang-kurangnya 39 nyawa ketika ambang Tahun Baharu.

“Identiti lelaki itu sudah diketahui dan polis kini sedang giat memburunya selepas imejnya diperoleh daripada sebuah rakaman video swafoto dikeluarkan,” kata Menteri Luar, Mevlut Cavusoglu tanpa memberikan butiran lanjut.

Hasil siasatan awal mendapati penyerang terbabit mahir dalam perang gerila dan mungkin pernah mendapat latihan di Syria.

“Lelaki terbabit dipercayai memasuki Turki dari Syria bersama isteri dan dua anaknya sebelum pergi ke bandar Konya pada November lalu,” menurut laporan akhbar Haberturk.

Setakat ini, seramai 14 individu yang dipercayai ada kaitan dengan insiden serangan itu telah diberkas.

Dalam perkembangan lain, Parlimen Turki meluluskan untuk melanjutkan tempoh darurat kepada tiga bulan yang pertama kali dikuatkuasakan selepas insiden kegagalan rampasan kuasa pada 15 Julai lalu.

Timbalan Perdana Menteri, Numan Kurtulmus dalam satu kenyataan menegaskan kerajaan nekad  memerangi seluruh pertubuhan pengganas hingga ke akar umbi. – AFP