Menarik
Tarikh Hari Ini
17 August 2017

Pesawat Kargo Terhempas, 37 Maut di Kyrgyzstan

Sebuah pesawat kargo milik Turkish Airlines terhempas di sebuah kampung di Bishkek, Kyrgyzstan, pagi ini ketika cuba mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Manas, mengorbankan 37 orang selepas merempuh kira-kira 60 buah rumah.

Insiden melibatkan pesawat Boeing 747 berlaku ketika kapal terbang yang dikendalikan ACT Airlines mahu mendarat untuk kali kedua setelah gagal dalam cubaan pertama kerana kabus tebal pada jam 7.31 pagi waktu tempatan di Kampung Dacha-Suu, selatan Bishkek.

Difahamkan, pesawat itu ma­hu mengisi minyak ketika da­lam perjalanan dari Hong Kong ke Is­tanbul dan nahas dipercayai ber­laku akibat kecuaian juruterbang.

Mangsa yang terbunuh terdiri daripada 17 penumpang dan kru serta 15 penduduk kampung termasuk enam kanak-kanak serta sebuah keluarga.

Gambar-gambar yang di­siar­kan oleh media memaparkan rangka utama pesawat ‘tersangkut’ di beberapa buah rumah penduduk manakala kawasan persekitaran kampung berselerakan dengan serpihan kapal terbang yang malang itu.

Sebahagian rangka pesawat juga masih terbakar dan berasap.

Kementerian Penjagaan Kesihatan dalam satu kenyataan memaklumkan, pasukan men­cari dan menyelamat telah menjumpai mayat juruterbang pertama dan 15 penduduk kampung.

Seorang penduduk kampung, Zumriyat Rezakhanova berkata, nahas berlaku ketika penduduk sedang tidur.
Susulan kejadian itu, lapangan terbang berkenaan ditutup sementara waktu manakala Perdana Menteri Kyrgyzstan dilapor mengetuai satu suruhanjaya bagi menyiasat punca kejadian.

Turkish Airlines di akaun rasmi Twitternya turut menyampaikan ucapan takziah kepada pihak yang kehilangan ahli keluarga dalam insiden tragis melibatkan tersebut. – AFP