Thai Mungkin Tunda Pilihan Raya Hingga Tahun Depan

Thailand akan menunda pilihan raya umum yang dirancang pada 2017 sehingga tahun depan bagi memberi lebih banyak masa untuk meluluskan undang-undang pilihan raya baru menjelang peralihan negara daripada pemerintahan tentera kepada awam, kata ahli Dewan Undangan Negara.

Ahli Dewan Undangan Negara (NLA), Somjet Boonthanom berkata, pilihan raya berkemungkinan diadakan pada Mac atau April 2018.

“Ia bukan penangguhan tetapi kerana kerumitan yang dihadapi dalam merangka undang-undang pengundian. Pilihan raya tidak akan berlaku tahun ini,” katanya.

Sementara itu, jurucakap pejabat perdana menteri Sansern Kaewkamnerd memberitahu, kerajaan junta bagaimanapun masih berpegang kepada rancangan untuk mengadakan pilihan raya tahun ini.

“Bagi kerajaan, kami masih berada di landasan yang betul dengan pelan tindakan yang telah ditetapkan. NLA mempunyai pendapat mereka sendiri,” katanya. – al Jazeera