Penyerang di Bawah Pengaruh Dadah, Alkohol

Lelaki yang mati ditembak selepas menyerang seorang tentera di Lapangan terbang Orly, berada di bawah pengaruh dadah dan alkohol, kata sumber kehakiman.

“Ujian toksikologi yang dijalankan semalam mendapati kandungan alkohol kira-kira 0.93 gram seliter dalam darahnya, juga ada kandungan ganja dan kokain,” kata sumber, sehari selepas kejadian di lapangan terbang kedua sibuk di Perancis.

Ziyed Ben Belgacem, 39, yang dilahirkan di Perancis daripada pasangan ibu bapa berketurunan Tunisia dilaporkan mengacu pistol ke atas seorang tentera selepas merampas rifel wanita itu dengan berkata dia bersedia mati kerana Allah.

Sementara itu, bapa Ziyed, berkata anaknya bukan pengganas seperti yang dakwa sebelum ini dan mendakwa tindakan anaknya itu di bawah pengaruh alkohol dan dadah.

Katanya, Ziyed sebelum ini pernah dipenjara kerana kesalahan rompakan bersenjata dan kegiatan dadah sekali gus dia bukan seorang pengganas.

“Anak saya bukan pengganas. Dia tidak pernah solat, dia minum arak, ” kata bapa yang enggan memberi namanya kepada radio Eropah 1. – AFP