UNICEF Gesa Myanmar Bebas Kanak-Kanak Rohingya

Agensi kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) menggesa kerajaan Myanmar membebaskan kanak-kanak Rohingya yang ditahan dalam kempen ketenteraan di negeri Rakhine.

Lebih 600 ditahan dalam operasi tentera ke atas penduduk Islam Rohingya di utara negara itu. Operasi dilancarkan selepas serangan maut dilancarkan militan terhadap pos polis pada Oktober.

Kira-kira 70,000 etnik Rohingya melarikan diri ke Bangladesh memberikan keterangan kepada penyiasat PBB bagaimana mereka dipukul, diseksa dan dibiarkan kelaparan dalam penjara.

Kanak-kanak adalah antara yang ditahan.

Timbalan Pengarah Eksekutif UNICEF, Justin Forsyth, berkata beliau memberikan maklumat mengenai kira-kira 12 kanak-kanak yang ditahan di penjara Buthidaung kepada pemimpin umum negara itu, Aung San Suu Kyi.

“Ada kanak-kanak yang ditahan di penjara, jadi kami membangkitkan kes itu.

Kanak-kanak yang ditahan menjadi isu kepada kami,” katanya kepada AFP lewat semalam pada akhir lawatan singkat ke Myanmar.

Suu Kyi dan ketua tentera Myanmar menyedari ‘ada isu mengenai perkara itu’ tetapi tidak melakukan komitmen tegas untuk membebaskan mereka.