Penduduk Marah Aspek Keselamatan Menara Grenfell Diabaikan

Penduduk dan aktivis di kawasan kejiranan berhampiran menara kediaman yang terbakar di sini, semalam, menyuarakan rasa marah dengan isu keselamatan yang diabaikan sejak sekian lama dan mendakwa masalah itu tidak dihiraukan kerana komuniti terbabit bukan ‘orang kaya’.

Bekas ketua Persatuan Penduduk Menara Grenfell, Damian Collins berkata, penduduk pernah mengadu kepada majlis perbandaran berhubung kerja-kerja pembaharuan bangunan itu yang selesai tahun lalu.

“Kami selalu kata, hanya tragedi yang akan menyedarkan mereka dan pihak yang menguruskan bangunan ini akan dipertanggungjawabkan,” kata Collins.

Menurutnya, penghuni bangunan itu bimbang kerana menara itu tidak mempunyai laluan kebakaran yang mencukupi, selain sistem pemanas dan lampu yang bermasalah.

Katanya, 90 peratus penduduk sudah menandatangani petisyen pada 2015, namun ia tidak dihiraukan majlis perbandaran.

Grenfell Tower adalah menara konkrit yang dibina pada 1974. Kerja-kerja pembaharuan yang menelan belanja 8.7 juta pound (RM46.79 juta) selesai tahun lalu, termasuk penutup luar bangunan yang didakwa penduduk menjadi punca api merebak.

“Mereka mengambil keputusan membelanjakan 10 juta pound (RM54.25 juta) untuk penutup bangunan ini dan kami percaya bahagian itu yang terbakar,” kata Stewart Wallace, 59, penduduk yang dipindahkan daripada rumahnya kerana khuatir Menara Grenfell mungkin tumbang. – AFP