Pertempuran Tentera Yaman dan Houthi, 27 Maut

Seramai 27 orang termasuk lapan anggota tentera maut dalam cubaan merampas semula istana presiden ditawan pemberontak Houthi di wilayah barat daya Taez, kata sumber pasukan perubatan dan tentera.

Majoriti wilayah Taez dikawal pemberontak Houthi Syiah, yang menentang tentera Presiden Abedrabbo Mansour Hadi yang disokong Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).

Sumber tentera dan perubatan berkata, 19 pemberontak Houthi maut dalam pertempuran sejak 24 jam lalu manakala sumber tentera yang lain melaporkan lapan anggotanya maut dalam tempoh sama ketika cuba menawan istana presiden.

Istana itu kini berada di bawah kawalan Houthi serta sekutu mereka iaitu pasukan bekas tentera setia dengan presiden disingkir Ali Abdullah Saleh.

Perangkaan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menunjukkan, konflik di Yaman sehingga kini meragut lebih 8,000 nyawa dan mencederakan puluhan ribu yang lain.

Lebih 500 orang pula maut akibat wabak taun manakala 55,200 lagi tidak sihat jangkitan gelombang kedua wabak itu yang berlaku dalam tempoh kurang setahun selepas gelombang pertama.

PBB sebelum ini mengeluarkan amaran, 17 juta penduduk atau dua pertiga dari populasi Yaman berdepan ancaman kebuluran serius tahun ini. – AFP