Polis Britain Tahan Tiga Lagi Suspek Serangan London Bridge

Polis Britain yang menyiasat serangan maut di London Bridge Sabtu lalu, menahan tiga lagi suspek, ketika video rakaman pegawainya menembak mati penyerang muncul dalam talian.

Polis berkata, pegawai anti-keganasan disokong anggota bersenjata, menahan dua lelaki di jalan raya di Ilford, timur ibu kota ini lewat semalam, manakala suspek ketiga ditahan di rumah berhampiran.

Dua daripada lelaki terbabit, berusia 27 dan 29 tahun, ditahan kerana disyaki bersiap sedia melakukan tindakan ganas manakala ketiga ditahan atas kesalahan dadah.

Lapan maut manakala 50 cedera apabila tiga militan Islam merempuh pejalan kaki di London Bridge sebelum menyerang pengunjung bar dan restoran berhampiran dengan pisau.

Rakaman kamera litar tertutup yang muncul dalam talian di media British menunjukkan penyerang, Khuram Butt, Rachid Redouane dan Youssef Zaghba menghampiri mangsa serta menikamnya sebelum polis tiba dan melepaskan tembakan.

Polis sebelum ini berkata, lapan pegawai dikejarkan ke tempat kejadian melepaskan 50 tembakan, membunuh ketiga-tiga penyerang.

Akhbar The Times berkata, ia memperoleh rakaman lelaki terbabit ketawa dan berjenaka lima hari sebelum serangan ketika bertemu di luar Ummah Fitness Centre, sebuah gimnasium di timur ibu kota ini, tempat Butt berlatih. – Reuters