Filipina Lanjut Perintah Darurat di Selatan

Kongres Filipina hari ini mengundi untuk melanjutkan pengisytiharan undang-undang darurat Presiden Rodrigo Duterte di selatan negara itu sehingga akhir tahun bertujuan menamatkan serangan bersenjata ekstremis Islam.

Dalam satu sesi khas bersama Dewan dan Senat, penggubal undang-undang sebulat suara menyokong saranan Duterte untuk melanjutkan undang-undang tentera di rantau Mindanao sehingga 31 Disember.

Undian itu dibuat selepas pasukan keselamatan masih berjuang sejak dua bulan lalu untuk menawan semula bandar Marawi di selatan daripada pemberontak yang disokong militan Daesh.

Duterte mula mengisytiharkan undang-undang darurat di Mindanao pada 23 Mei lalu sejurus selepas kumpulan bersenjata yang mengibarkan bendera hitam Daesh, menduduki sebahagian Marawi, sekali gus mencetus pertempuran selama beberapa minggu.

Ahli parlimen pembangkang bagaimanapun mempersoalkan mengapa undang-undang tentera diperlukan untuk seluruh Mindanao sedangkan pertempuran itu terhad di satu bandar.

“Saya khuatir rancangan untuk memperluas undang-undang darurat di Mindanao akan membuka jalan untuk melaksanakan undang-undang tentera di seluruh Filipina,” kata Senator Risa Hontiveros sebelum undian dibuat.

Duterte mengenakan 60 hari perintah darurat, tempoh maksimum yang dibenarkan oleh perlembagaan di rantau Mindanao pada 23 Mei beberapa jam selepas serangan kumpulan bersenjata.

Isnin lalu beliau meminta Kongres untuk melanjutkan tempoh darurat sehingga akhir tahun ini, bersama-sama dengan penggantungan perlindungan perlembagaan berterusan terhadap penangkapan tanpa waran. – AFP