Manila Gantung Import Daging Lembu Dari Brazil

Filipina hari ini menggantung import daging dari Brazil dengan alasan keselamatan, susulan tindakan Amerika Syarikat (AS) menggantung import daging lembu segar dari negara itu, selepas sejumlah besar produk itu gagal melepasi pemeriksaan keselamatan.

Setiausaha Pertanian, Emmanuel Pinol, berkata pihak keselamatan makanan Filipina akan berkunjung ke Brazil pada 26 Julai ini untuk memeriksa kawasan dan peralatan pengeksport daging di negara itu.

Brazil adalah pengeksport daging lembu dan ayam terbesar dunia, yang mana enam peratus import daging Filipina adalah dari negara itu, lapor beberapa media tempatan.

“Hal ini membabitkan kesihatan pengguna Filipina dan kami tidak boleh mengambil risiko,” kata Pinol.

Pemantau kualiti China turut meningkatkan pemeriksaan daging import dari Brazil susulan penggantungan oleh AS. – Reuters