Najib Kutuk Serangan Bom Berani Mati Ke Atas Masjid Di Afghanistan

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengutuk sekeras-kerasnya serangan bom berani mati yang berlaku di dua buah masjid di Afghanistan dengan mengorbankan sekurang-kurangnya 72 orang, semalam.

“Mengutuk sekeras-kerasnya serangan yang sungguh kejam di Afghanistan. Fahaman pelampau tiada tempat dalam Islam,” kata beliau dalam catatan di laman Twitternya, malam ini.

Media antarabangsa melaporkan sekurang-kurang 39 orang maut dalam letupan di Masjid Imam Zaman di daerah, Dasht-e-Barchi, barat Kabul, selepas seorang pengebom masuk ke masjid ketika umat Islam menunaikan solat Jumaat.

Dalam kejadian berasingan, sekurang-kurangnya 33 orang terkorban dalam serangan sama di sebuah masjid di wilayah tengah Ghor.

Kumpulan pengganas Daesh telah mendakwa bertanggungjawab terhadap serangan di Kabul manakala belum ada pihak mengaku bertanggungjawab atas insiden di Ghor. – BERNAMA