Tentera Israel Tembak Penunjuk Perasaan Sebabkan Puluhan Cedera, Seorang Terbunuh

Sekurang-kurangnya seorang terbunuh dalam pertembungan dengan tentera semalam apabila ribuan warga Palestin menunjuk perasaan membantah tindakan Presiden AS Donald Trump mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel.

Presiden Palestin mengisytiharkan Washington bukan lagi broker perdamaian.

Di serata dunia Arab dan Islam, ribuan lagi penunjuk perasaan berarak di jalan raya pada Jumaat, menyuarakan solidariti dengan warga Palestin dan kemarahan terhadap tindakan Trump menterbalikkan dasar Amerika Syarikat yang berdekad lama.

Askar Israel menembak mati seorang lelaki warga Palestin berhampiran sempadan Gaza, individu pertama yang disahkan maut dalam kekacauan selama 2 hari. Puluhan lagi cedera dalam tunjuk perasaan itu.

Tentera Israel berkata ratusan warga Palestin membawa tayar berapi dan membaling batu ke arah askar di seberang sempadan.

“Semasa rusuhan askar Israel melepaskan tembakan secara terpilih terhadap 2 pemula dan sasaran disahkan kena,” katanya.

Lebih 80 warga Palestin tercedera di Tebing Barat dan Gaza akibat tembakan peluru hidup dan peluru getah oleh tentera Israel, menurut perkhidmatan ambulan Sabit Merah Palestin. Puluhan lagi menderita terhidu gas pemedih mata. Tiga puluh satu orang tercedera pada Khamis.

Sejurus tamatnya solat Jumaat di Masjid Al Aqsa di Baitulmaqdis, ahli jemaah berarak ke gerbang Kota Lama sambil melaungkan “Baitulmaqdis milik kami, Baitulmaqdis ibu negara kami” dan “Kami tidak perlukan kata-kata, kami mahu batu dan Kalashnikov (raifal tempur). Pergaduhan tercetus antara penunjuk perasaan dan polis.

Di Hebron, Baitulaham dan Nablus, puluhan warga Palestin membaling batu ke arah askar Israel yang membalas dengan gas pemedih mata.

Di Gaza, yang dikawal kumpulan Islamis Hamas, seruan menyeru ahli jemaah menunjuk perasaan kedengaran melalui pembesar suara masjid. Hamas menyeru kebangkitan baharu seperti “intifada” 1987-1993 dan 2000-2005, yang menyaksikan ribuan warga Palestin dan lebih 1,000 rakyat Israel terbunuh.

“Negara yang memindahkan kedutaan ke Baitulmaqdis akan menjadi musuh rakyat Palestin dan sasaran kumpulan Palestin,” kata pemimpin Hamas Fathy Hammad ketika penunjuk perasaan membakar poster Trump di Gaza.

“Kami mengisytiharkan intifada sehingga Baitulmaqdis dan semua rakyat Palestin dibebaskan.”

Penunjuk perasaan berkurangan menjelang malam. Siren amaran roket kedengaran di pekan-pekan di selatan Israel berdekatan sempadan Gaza dan tentera Israel berkata mereka berjaya memintas 2 roket yang dilancarkan dari Gaza. Tiada kerosakan atau kecederaan dilaporkan.

Briged Syahid Al Aqsa, kumpulan militan yang dikaitkan dengan parti Presiden Palestin Mahmoud Abbas, Fatah, dikatakan bertanggungjawab melancarkan salah satu roket itu, sebagai bantahan kepada keputusan Trump.

Penduduk di Gaza terdengar letupan berdekatan sempadan selepas roket dilancarkan dan media Hamas berkata kereta kebal Israel melepaskan tembakan ke arah kedudukan militan. Tentera Israel berkata mereka tidak tahu akan kejadian itu, di mana tiada kecederaan dilaporkan.

Di Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu, Duta AS ke PBB Nikki Haley berkata Washington masih berwibawa untuk menjadi orang tengah antara Israel dan Palestin.

“Amerika Syarikat masih dilihat berwibawa oleh kedua-dua belah pihak. Israel tidak boleh dan tidak patut dibuli PBB untuk menandatangani suatu perjanjian, atau oleh kumpulan negara yang terbukti tidak pedulikan keselamatan Israel,” kata Haley kepada Majlis Keselamatan PBB.

Presiden Palestin Mahmoud Abbas bagaimanapun berkeras.

“Kita tolak keputusan AS ke atas Baitulmaqdis. Dengan kedudukan itu AS tidak lagi layak menaja proses damai,” kata Abbas dalam kenyataan. Beliau tidak menghuraikan lebih lanjut.

Perancis, Italy, Jerman, Britain dan Sweden menyeru AS membentangkan cadangan menyelesaikan isu Israel-Palestin secara terperinci”.

Janji ditepati

Pengumuman Trump pada Rabu menimbulkan kemarahan dunia Arab dan menyinggung sekutu Barat. Status Baitulmaqdis sekian lama menjadi cabaran dalam perjanjian damai antara Israel dan Palestin sejak bergenerasi.

Israel menganggap seluruh Baitulmaqdis sebagai ibu negara. Warga Palestin mahu bahagian timur kota itu menjadi ibu negara sebuah negara Palestin yang merdeka.

Kebanyakan negara menganggap Baitulmaqdis Timur, yang ditawan Israel dalam perang 1967 sebagai wilayah diduduki. Ia merangkumi Kota Lama, yang menjadi tuan rumah kepada tapak suci bagi orang Islam, Yahudi dan Kristian.

Sejak berdekad, Washington, seperti mana masyarakat antarabangsa lain, enggan mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel, dan berkata status kota itu harus ditentukan sebagai sebahagian daripada proses damai Palestin-Israel. Tiada negara meletakkan kedutaan di situ.

Pentadbiran Trump menjawab proses damai dalam keadaan nazak, dan dasar lapuk perlu dikeluarkan supaya pihak terlibat dalam konflik boleh maju ke depan. Pegawai pentadbiran itu berkata semua rancangan damai yang serius menyeru Baitulmaqdis dijadikan ibu negara Israel, walau apa pun hasil isu lain.

Trump berkata Barack Obama, George W Bush dan Bill Clinton berjanji untuk mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel semasa pencalonan mereka. “Saya tunaikan janji pilihan raya saya – yang lain tidak!” kata Trump di Twitter bersama montaj ucapan kempen oleh pendahulunya.

Setiausaha Negara AS Rex Tillerson berkata terpulang kepada Israel dan Palestin untuk menyelesaikan isu-isu lain berkenaan kota itu dalam perbincangan di masa depan.

“Berkenaan isu Baitulmaqdis yang lain, presiden…tidak pernah menyatakan status muktamad untuk Baitulmaqdis. Beliau sangat jelas status muktamad, termasuk sempadan, akan dirunding dan ditentukan oleh kedua-dua pihak.”

Bagaimanapun, beberapa negara Islam mencurigai motif pentadbiran Trump. Sebagai calon beliau mencadangkan larangan ke atas orang Islam memasuki AS, dan pentadbirannya cuba menghalang warganegara beberapa negara Islam memasuki negara itu. Minggu lepas, beliau mengulang siar video anti-Islam oleh kumpulan haluan kanan British.

Jahanam Iblis

Di Ramallah, pusat pentadbiran Penguasa Palestin, penasihat hal ehwal agama presiden berkata pendirian Trump menghina Islam dan Kristian.

“Amerika memilih seorang presiden yang menimbulkan kebencian orang Islam dan Kristian,” kata Mahmoud al-Habbash.

Di Iran, yang tidak pernah mengiktiraf Israel dan menyokong militan anti-Israel, penunjuk perasaan membakar gambar Trump dan Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu sebagai melaungkan “Jahanam Iblis”. Penentangan terhadap langkah AS itu menyatukan kumpulan pragmatis di Iran, yang menyokong keterbukaan kepada dunia luar, dengan aliran keras yang menentangnya.

Di Kaherah, ibu negara Mesir, negara sekutu AS yang mempunyai perjanjian damai dengan Israel, ratusan penunjuk perasaan berhimpun di Masjid Al-Azhar melaungkan “Baitulmaqdis milik orang Arab! Trump kau gila, orang Arab berada di mana-mana!”

Imam yang mengetuai solat Jumaat di Al-Azhar berkata rancangan AS memindahkan kedutaan ke Baitulmaqdis satu “keputusan pengganas”. Imam masjid itu, Sheikh Ahmed al-Tayeb, menolak jemputan bertemu Naib Presiden AS Mike Pence.

Tunjuk perasaan besar-besaran turut berlaku di Jordan, Tunisia, Somalia, Yaman, Malaysia dan Indonesia.

Perancis berkata AS telah meminggirkan diri sendiri di Timur Tengah. “Hakikatnya mereka bersendirian dan terpulau dalam isu ini,” kata Menteri Luar Negara Jean-Yves Le Drian. – Reuters