Kerajaan Myanmar Cadang Kembali Hantar Rakyatnya Bekerja Di Malaysia

Myanmar bercadang kembali menghantar rakyatnya bekerja di Malaysia semenjak melaksanakan larangan pada Disember 2016, susulan ketegangan hubungan antara Putrajaya dan Naypyidaw akibat tekanan Malaysia yang mengesa negara itu menghentikan kezaliman dilakukan terhadap etnik Rohingya.

Menteri Buruh, Mihrasi dan Imigresen, U Thein Swe berkata langkah pembatalan tersebut dapat mengurangkan jumlah rakyat negara itu yang menyalahgunakan visa pelancong untuk bekerja di Malaysia.

“Kami akan menghantar pekerja semula selepas meneliti permohonan pekerjaan berdasarkan prosedur. Kami berharap dapat menghantar pekerja (ke Malaysia) mulai bulan depan,” katanya seperti dilaporkan akhbar Myanmar Times.

Menurut laporan akhbar tersebut juga, berita mengenai perkara itu menggembirakan ramai majikan dan agensi pekerjaan di Malaysia yang kekurangan sumber tenaga kerja warga Myanmar sejak lebih setahun lalu.

Berdasarkan statistik terbaru Kementerian Buruh, Migrasi dan Imigresen Myanmar menunjukkan sekitar 400,000 hingga 500,00 rakyat negara itu bekerja di Malaysia dengan 200,000 daripada jumlah berkenaan mempunyai permit pekerjaan sah.

Myanmar sebelum ini menghentikan penghantaran rakyatnya ke Malaysia susulan kenyataan Perdana Menteri Malaysia yang mengecam pemimpin Myanmar, Aung San Suu Kyi yang membenarkan “pembersihan etnik” warga Rohingya dalam Himpunan Solidarit Ummah pada 4 Disember 2016 di Kuala Lumpur.

Malah ketegangan antara Myanmar dan Malaysia diburukkan lagi dengan serangan rakyat Malaysia terhadap imigran negara itu di sini akibat kekejaman tentera Myanmar ke atas etnik Rohingya di Rakhine.