Harga Beras Import Dijangka Naik Mulai Mac

Harga semua beras import dijangka akan naik antara lima hingga tujuh peratus bermula 1 Mac depan menurut sumber industri.

Sumber tersebut berkata kenaikan harga itu disebabkan ketidaktentuan ekonomi ketika ini, selain nilai tukaran Ringgit Malaysia yang rendah di pasaran dunia menyebabkan pengimport beras terpaksa menaikkan harga beras import bagi mengimbangi kos operasi mereka.

Katanya lagi, faktor kelemahan ringgit dan harga bahan bakar memberi kesan langsung terhadap peningkatan harga beras import.

“Peningkatan antara 35 sen hingga 50 sen boleh dikatakan tinggi. Kalau naik 20 sen masih boleh dianggap wajar untuk pengguna.

“Setakat ini, kami (pengusaha) hanya dimaklumkan melalui panggilan telefon bukan menerusi notis rasmi dari pihak Padiberas Nasional Bhd (BERNAS),” katanya kepada media hari ini.