Industri Emas Negara Tumbuh Tiga Kali Ganda

Ketika industri emas Malaysia dikuasai sektor hiliran, adalah menarik untuk mengetahui yang sektor huluan telah berkembang tiga kali ganda dalam tempoh sedekad lalu kepada RM780 juta pada 2015 daripada RM211 juta pada 2006.

Tidak banyak diketahui yang pengeluaran emas Malysia adalah daripada 14 lombong yang terletak di Pahang, Kelantan dan Terengganu dan setakat 2015, Pahang sahaja menyumbang 74 peratus daripada pengeluaran emas negara.

Pengarah Eksekutif Dewan Perlombongan Malaysia, Muhamad Nor Muhamad berkata, pertumbuhan industri itu dipacu oleh peningkatan output serta kenaikan harga emas.

“Sumbangan daripada sektor huluan agak besar, menghasilkan 4.73 tan metrik emas bernilai RM780.8 juta dan mengeksport 4.06 tan metrik emas dilebur bernilai RM523.4 juta pada 2015,” katanya kepada Bernama dalam satu temu bual.

Menurutnya, sebahagian besar emas itu dieksport ke Australia, Singapura, Switzerland, Hong Kong, Emiriyah Arab Bersatu (UAE) dan Thailand.

Ia dieksport dalam bentuk aloi separuh tulen mengandungi 85 peratus emas dan selebihnya sama ada tembaga, perak, plumbum, zink atau selenium.

“Ia kemudiannya dieksport untuk penulenan kepada 99.9 peratus jongkong emas. Bagaimanapun pengeluar lebih kecil menjual bijih emas kepada tukang emas tempatan yang kemudian melebur dan dipertulen di premis mereka untuk dibuat barang kemas,” katanya.

Muhamad Nor berkata, Malaysia tidak mempunyai kemudahan penulenan emas kerana kebanyakan logam berharga itu selepas dilebur akan dieksport untuk dipertulenkan di negara lain terutama oleh pelombong besar.

“Pengeluar utama di negara ini sering dikaitkan dengan penggiat emas antarabangsa terkemuka yang mempunyai kilang sendiri di negara lain,” katanya.

Mengenai kehadiran dan penyertaan pelabur asing dalam lombong tempatan, beliau berkata, ini disebabkan pelaburan modal yang tinggi diperlukan, selain kepakaran untuk menjalankan kerja-kerja perlombongan.

Menurutnya, beberapa tahun lalu terdapat rancangan untuk membina kemudahan penulenan di Sepang, Selangor, bagaimanapun ia gagal berikutan kekangan bagi mendapatkan sumber bahan mentah yang cukup untuk kilang berkenaan.

Mengenai prospek industri itu, Muhamad Nor berkata, pelbagai aktiviti penerokaan yang dijalankan Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia telah mengenal pasti beberapa kawasan dengan emas beranomali di Johor, Kelantan, Pahang, Sabah dan Sarawak.

“Ini bermakna industri emas kia mempunyai potensi untuk mengekalkan pengeluaran emas pada paras tertinggi untuk beberapa tahun akan datang,” katanya.

Menurut data tempatan, sejak 1972, pengeluaran emas telah mencatat paras tertinggi iaitu 4.739 tan metrik pada 2003 sebelum menyusut kepada 2.794 tan metrik pada 2009 dan meningkat semula kepada 4.732 tan metrik pada 2015.

Bagaimanapun, faktor utama yang akan menjadikan lombong terbabit dapat diusahakan secara ekonomi ialah harga emas di mana pada 2015 purata AS$1,160.11 (RM5,161.56) seaun, katanya.

Setakat hari ini, harga emas berada pada AS$1,206 (RM5,365.73) seaun dan dilaporkan mencatat paras tertinggi tahun ini sekitar AS$1,256 (RM5,588.24) pada 24 Februari.

Ketika sektor huluan terus berkembang, Muhamad Nor mendapati sumbangan lebih besar adalah daripada sektor hiliran di mana nilai ekonominya jauh mengatasi sektor huluan.

“Yang penting ialah sumbangan sektor hiliran yang mengimport emas untuk dijadikan barang kemas dan aksesori bukan sahaja untuk pasaran domestik, tetapi juga antarabangsa,” katanya. – BERNAMA