Harga Minyak Meningkat Ekoran Keyakinan Terhadap Pengeksport

Harga minyak meningkat semalam, berikutan keyakinan yang semakin bertambah pengeksport utama akan bersetuju melanjutkan kekangan bekalan minggu ini.

Ia juga disokong oleh spekulasi pengurangan itu akan diperluaskan sekali gus meningkatkan harga ke paras tertinggi dalam tempoh lebih sebulan.

Niaga hadapan Brent naik 26 cents atau 0.5 peratus untuk ditutup kepada AS$53.87 setong manakala minyak mentah U S West Texas Intermediate bagi Jun naik 40 cents atau 0.8 peratus untuk ditutup kepada AS$50.73 setong.

Kedua-dua kontrak bagi penghantaran Jun ditutup pada paras tertinggi sejak 18 April lalu.

Penanda aras minyak mentah mencatat peningkatan kelapan dalam sembilan hari dagangan, meletakkan kontrak niaga naik 16 peratus daripada paras terendah dalam tempoh lima bulan yang dicapai awal bulan ini.

Harga minyak meningkat berikutan jangkaan pengeluar OPEC dan pengeluar lain termasuk Russia akan melanjutkan perjanjian pada mesyuarat 25 Mei ini untuk mengurangkan bekalan kepada 1.8 juta tong sehari bagi tempoh enam atau sembilan bulan lagi.

Ketua Komoditi di SEB Markets, Bjarne Schieldrop berkata keputusan untuk melanjutkan pengurangan itu dilihat hampir pasti. “Kumpulan negara pengeluar itu kelihatan bersepakat dengan persetujuan itu, ” katanya. – REUTERS