Momentum Pasaran Amerika Syarikat Terjejas

Pasaran saham Amerika Syarikat (AS) berakhir dengan sedikit perubahan semalam, selepas kaunter Home Depot dan peruncit lain terjejas berikutan pengumuman data jualan runcit negara itu.

Saham Home Depot menjunam 2.7 peratus, sekali gus menjadikannya sebagai kaunter paling rugi di S&P 500 dan Dow.

Walaupun kaunter itu menyaksikan prestasi pendapatan dan prospek yang lebih baik, pelabur kelihatannya masih membimbangkan sentimen prestasi pasaran kediaman yang kemungkinan akan membawa turun pendapatan masa depan Home Depot.

Indeks penunjuk pengguna S&P 500 mencatat penurunan 0.9 peratus yang sekali gus turut memberi tekanan besar kepada kaunter mewah Coach dan Advance Auto Parts yang mencatatkan prestasi kurang memberangsangkan.

Indeks runcit S&P 500 juga turun 1.6 peratus.

Bagaimanapun, rekod jualan runcit AS mencatatkan peningkatan tujuh bulan pada Julai apabila berlaku peningkatan pengguna membeli kenderaan serta perbelanjaan bermewah.

Purata Industri Dow Jones naik 5.28 mata atau 0.02 peratus kepada 21,998.99, S&P 500 kerugian 1.23 mata atau 0.05 peratus kepada 2,464.61 dan Nasdaq jatuh 7.22 mata atau 0.11 peratus kepada 6,333.01.

Secara keseluruhannya dalam tempoh 52 minggu, S&P 500 mencatatkan 49 paras tertinggi baharu dan 10 paras terendah baharu, manakala Nasdaq merekodkan 98 paras tertinggi baharu dan 85 paras terendah baharu. – Reuters