Kapten Izham Dilantik CEO Baharu MAS Ganti Bellew

Lembaga pengarah Kumpulan Penerbangan Malaysia (MAG) dan Malaysia Airlines Bhd (MAB) hari ini mengumumkan pelantikan Kapten Izham Ismail sebagai ketua pegawai eksekutif (CEO) kumpulan menggantikan Peter Bellew berkuatkuasa serta-merta.

Izham, yang berkhidmat di MAB selaku ketua pegawai operasi (COO), merupakan orang ketiga menduduki kerusi penting itu dalam tempoh dua tahun ini.

MAB dalam kenyataan berkata Izham akan menyandang jawatan itu mulai 1 Disember 2017 dengan pemergian Bellew.

Menurut MAB, pelantikan Izham sejajar dengan rancangan penggantian kepimpinan dalam pelan pemulihan Malaysia Airlines.

“Bagi memastikan peralihan yang lancar, satu jawatankuasa eksekutif lembaga pengarah akan diadakan untuk tempoh sehingga enam bulan,” kata MAB.

Jawatankuasa itu akan diketuai Pengerusi Tan Sri Md Nor Yusof, ahli lembaga pengarah Tan Sri Krishnan Tan Boon Seng, Tan Sri Zamzamzairani Isa dan Sheranjiv Sammanthan.

Sebelum menjadi COO pada 2016, beliau merupakan CEO di MASwing yang beroperasi di Sabah dan Sarawak. Beliau mempunyai 38 tahun pengalaman berkhidmat dalam industri penerbangan.

“Beliau memimpin penstrukturan semula bahagian kejuruteraan menjadikan operasi lebih cekap dan kecil, dan bertanggungjawab atas inisiatif penjimatan bahan bakar syarikat penerbangan itu,” kata MAB.

Bellew merupakan CEO warga asing kedua yang dilantik Khazanah dalam projek penstrukturan dan pemulihan Malaysia Airlines. Menyertai syarikat penerbangan negara itu pada 1 September 2015, beliau dan CEO sebelumnya, Christoph Mueller, meninggalkan Malaysia Airlines sebelum tamat tempoh kontrak masing-masing. – BERNAMA