Sultan Johor Milik Pegangan Saham Kedua Terbesar Dalam 7-Eleven

7-Eleven Malaysia Holdings Bhd mengumumkan hari ini Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, meningkatkan lagi pegangannya dalam syarikat itu kepada 15.52 peratus mewakili sejumlah 172.37 juta saham daripada 8.44 peratus yang dipegang pada Ogos 2017.

Sultan Ibrahim kekal sebagai pemegang saham individu kedua terbesar.

Pemegang saham terbesar 7-Eleven Malaysia, Tan Sri Vincent Tan, berkata beliau amat gembira Sultan Ibrahim terus meningkatkan pegangan dalam 7-Eleven Malaysia, menurut syarikat itu dalam kenyataan hari ini.

“Ini mencerminkan keyakinan berterusan Sultan Ibrahim terhadap keupayaan, prestasi dan potensi perniagaan 7-Eleven Malaysia.

“7-Eleven Malaysia mencatatkan pendapatan belum diaudit sebanyak RM1.64 bilion dengan keuntungan sebelum cukai RM43.94 juta bagi tempoh 9 bulan berakhir 30 Sept, 2017,” katanya. – BERNAMA