Elizabeth Tolak Jadi “Polis” Disebabkan Rambut

Pelantun lagu “Knock, Knock”, Elizabeth Tan mengaku terkilan terpaksa menolak tawaran membintangi filem Polis Evo 2 disebabkan tidak mampu memenuhi kehendak penerbitan filem tersebut untuk memotong rambutnya.

Penyanyi itu memberitahu, dia ditawarkan watak sebagai anggota polis selepas uji bakat namun terpaksa menolak selepas penerbitan filem tersebut memintanya untuk berambut pendek seperti lelaki.

Katanya, keputusan tersebut dibuat memandangkan dia kini masih terikat dengan kontrak sebagai duta kepada empat produk yang menghalangnya berbuat demikian.

“Saya ada bertanya bolehkah saya menggunakan rambut palsu dan menggunting sedikit saja rambut. Tetapi saya diberitahu, watak itu memerlukan saya berambut pendek seperti lelaki,” katanya kepada media.

Tambahnya lagi, dia cukup teruja untuk beraksi dalam filem tersebut namun terpaksa membuat keputusan itu kerana tidak mahu kontraknya sebagai duta produk terjejas disebabkan isu rambut tersebut.

“Syarikat produk melihat saya berdasarkan pakej dengan imej berambut panjang. Kalau saya potong rambut pendek, tak tahu macam mana imej yang hendak saya bawa untuk produk mereka.

“Kalau saya tidak terikat dan syarikat produk menerima imej saya berambut pendek, saya tak kisah. Tetapi pasti sukar untuk saya diberi tawaran sebagai duta lagi,” katanya.