Bukti CCTV Tidak Gugat Cinta Kami, Kata Kekasih Afifah Nasir

Kekasih kepada pelakon baharu Afifah Nasir, Wan Ariff menegaskan masih setia dan meletakkan kepercayaan sepenuhnya kepada kepada aktres itu walaupun selepas menonton sendiri rakaman litar tertutup (CCTV) seperti yang tular di internet.

Wan Ariff berkata dia percaya bahawa setiap perkara mempunyai alasan dan berharap kontroversi yang timbul akan selesai segera.

“Ya saya sudah tengok CCTV, malah sebelum artikel dan video tersebar. Tapi saya masih bersama dia (Afifah).

“Ia pasti ada alasan kan? Sabar,” katanya ketika dihubungi pemberita.

Menurutnya lagi, Wan Ariff memberikan sepenuh kepercayaan kepada Afifah untuk menyelesaikan kontroversi berkenaan kerana percaya kekasihnya itu mempunyai kematangan dalam membuat keputusan.

Tambahnya rakaman CCTV yang ditularkan semenjak beberapa hari lalu memperlihatkan individu menyerupai penyanyi popular kelahiran Singapura, Aliff Aziz dan kekasihnya, Afifah berpimpin tangan tidak akan mengugat kepercayaan Wan Atiff terhadap teman wanitanya.

Walaupun menerima kecaman netizen di media sosial miliknya selepas Afifah dan kakaknya, Anzalna Nasir menutup ruang komen di Instagram masing-masing, Wan Ariff bertindak berani dengan memuat naik videonya bersama Afifah melalui ‘Instagram Story.’

Sebelum ini, Afifah pernah mengakui menjalinkan hubungan percintaan dengan pemuda itu selama lebih dua tahun.