Joy Revfa, Hafiz Hamidun Fail Pembubaran Pernikahan

Isteri kepada penyanyi Hafiz Hamidun, Joy Revfa, hari ini, memfailkan permohonan pembubaran pernikahan di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari kerana didorong tindakan suaminya yang meragui perkahwinan mereka.

Joy atau nama sebenarnya, Siti Arifah Mohd Amin, 30, berkata keputusan itu diambil setelah berbincang dengan pelbagai pihak dan sebagai tuntutan haknya sebagai isteri Hafiz yang sah.

“Saya kecewa apabila ada yang memperkatakan status pernikahan kami tidak sah. Perkahwinan terdahulu saya berakhir pada 2015, cuma tidak didaftarkan di Malaysia.

“Hafiz sedia maklum mengenai perkara itu kerana dia sendiri yang membuat surat pengesahan perceraian.

“Tiba-tiba pada 23 Mei lalu, Hafiz membangkitkan perkahwinan kami tidak sah,” katanya ketika ditemui selepas prosiding mahkamah, hari ini.

Kata Joy, selepas penyanyi lagi ketuhanan itu mendakwa pernikahan mereka tidak sah, Hafiz tidak lagi menganggap dirinya sebagai isteri.

“Saya tidak diberi nafkah zahir dan batin. Sehubungan itu, saya berjuang untuk mempertahankan hak sebagai wanita,” katanya.

Sementara itu, Hafiz turut dilihat berada di perkarangan mahkamah seawal jam 9.00 pagi dan difahamkan juga memfailkan permohonan pembubaran nikah mereka.

Joy dan Hafiz diijabkabulkan di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz, Shah Alam, pada 1 Mei lalu.