Ahli Majlis Putus Annuar Musa Digantung Tugas Pengerusi MARA

Majlis Amanah Rakyat (MARA) mengumumkan penggantungan tugas Tan Sri Annuar Musa sebagai Pengerusi MARA dan anak syarikatnya, Pelaburan MARA Berhad (PMB) berkuat kuasa serta-merta selepas mesyuarat tergempar ahli majlisnya yang diadakan di Ibu Pejabat MARA, Kuala Lumpur, pagi tadi.

Mesyuarat dipengerusikan oleh Ahli Majlis MARA, Datuk Dr Yusof Yacob dan Datuk Dr Abu Azam Md Yassin itu mencapai kata putus menggantung tugas Annuar selepas Ahli Parlimen Ketereh itu terpalit kontroversi berkaitan penajaan pasukan bola sepak Kelantan.

Yusof berkata Annuar telah dimaklumkan mengenai penggantungan tugasnya itu dan beliau akur dengan keputusan tersebut.

Semua tugas Annuar di agensi itu akan dipangku oleh Yusof sehingga tamat tempoh penggantungan tugasnya atau pelantikan pengerusi MARA yang baru.

Pada masa sama, Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengakui mengetahui mengenai mesyuarat berkenaan, tetapi tidak mengetahui mengenai agenda mesyuarat tersebut untuk memutuskan mengenai penggantungan tugas Annuar

“Saya dimaklumkan tentang mesyuarat, tetapi tidak tahu apa agendanya,” katanya

Menurut Ismail, beliau sedang menunggu laporan mesyuarat berkenaan namun yakin keputusan mesyuarat itu masih tertakluk di bawah bidang kuasanya.

“Saya tak pasti apakah mesyuarat khas ada kuasa untuk menggantung pengerusi.

“Setahu saya kuasa melantik pengerusi adalah di bawah kuasa menteri dan mendapat persetujuan perdana menteri.

“Saya yakin ianya termasuk memberhentikan pengerusi atau menggantung,” katanya ketika dihubungi pihak media.

Menteri Umno itu akan mendapatkan pandangan daripada penasihat undang-undang mengenai hal terbabit sebelum mengambil tindakan susulan.