Menarik
Tarikh Hari Ini
17 August 2017

Bahri Dituduh Salah Guna Kuasa Libat Harta Pusaka

Bekas Pengarah Badan Siasatan Khas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Bahri Mohd Zin dituduh menyalahgunakan kuasanya dalam pertikaian harta pusaka keluarga isterinya.

Pengarah Kolej Islam Sains dan Teknologi (KIST), Noraihan Che Ali mendakwa Bahri telah menggunakan kuasanya untuk mengarahkan anggota SPRM Putrajaya menggeledah kediamannya pada 18 Januari 2016 dan merampas beberapa dokumen berkaitan perniagaan kolejnya, sekolah memandu dan lain-lain.

“Suami saya telah pulang ke rahmatullah pada September 2015 dan telah meninggalkan harta berjumlah sekitar RM100 juta dan hutang piutang bernilai RM85 juta.

“Kemudian berlaku perebutan harta pusaka peninggalan suami saya diantara adik beradik Allahyarham dengan saya dan anak saya,” katanya dalam sidang media di Grand Dorsett Subang Jaya hari ini.

Kata Noraihan lagi, susulan pertikaian tersebut, isteri Bahri juga adik iparnya, Datin Norhaslina Abdullah telah mendesaknya menandatangani surat penolakan harta tinggalan suaminya itu.

Norhaslina didakwa telah menghantar surat peguam kepadanya untuk meminta tandatangan dan cap jari anaknya bagi tujuan menolak harta ditinggalkan allahyarham suaminya.

“Mereka mendesak saya supaya menandatangani surat penolakan harta, malah cuba mendapatkan cap jari anak saya yang merupakan anak yatim dan baru berusia sembilan tahun.

“Yang mendesak saya ialah Datin Norhaslina Abdullah dan suami beliau, Datuk Bahri Mohd Zain.

“Selepas keengganan kami anak beranak untuk menandatangani surat penolakan harta tersebut, sepasukan Unit Khas SPRM Putrajaya telah datang ke rumah saya pada 18 Januari 2016 untuk menggeledah dan menyita kediaman saya dan mengambil semua dokumen berkaitan allahyarham suami saya terutama berhubung Kolej Islam Sains dan Teknologi,” tambahnya lagi.

Menyedari ancaman dihadapinya, Norhaslina bertindak membuat beberapa laporan polis pada 1 Mac 2016, namun mendakwa tiada tindakan diambil terhadap laporannya itu.

Norhaslina meminta Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk menyegerakan siasatan terhadap aduan berkenaan dan meminta SPRM untuk melakukan siasatan dalaman berhubung salah guna kuasa oleh bekas pegawai mereka.

Dalam masa sama, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar mengesahkan pihaknya ada menerima laporan dakwaan penyalahgunaan kuasa terhadap Bahri pada tahun lepas.

Namun menegaskan bahawa siasatan sudah dibuat dan dibawa ke Jabatan Peguam Negara.

“Laporan terhadap Bahri kita terima di Kelantan. Seperti biasa, kita akan jalankan siasatan kerana ada laporan dan apa jua penemuan akan kemukakan ke Jabatan Peguam Negara untuk arahan seterusnya,” katanya pada sidang media di Persada PLUS, Subang hari ini.