Menarik
Tarikh Hari Ini
17 August 2017

Flotilla Rohingya Ditangguhkan Akhir Januari

Flotilla misi bantuan kemanusiaan Rohingya yang dijadualkan akan berlepas ke wilayah Rakhine, Myanmar pada 10 Januari terpaksa ditangguhkan hingga akhir bulan ini, kata penganjurnya dalam sidang media di Gudang Kontena Nasional Berhad, Petaling Jaya, petang tadi.

Jurucakap kepada misi bantuan tersebut, Datuk Seri Abdul Azeez Rahim berkata keputusan itu dibuat disebabkan mereka masih belum mendapat kebenaran dari kerajaan Myanmar untuk memasuki perairan negara tersebut, walaupun telah membuat permohonan secara rasmi melalui Wisma Putra pada 12 Disember lalu.

Namun Azeez bertegas akan meneruskan misi tersebut biarpun tanpa kebenaran kerajaan Myanmar.

“Misi kita adalah perjuangan kemanusiaan semata-mata, memberikan bantuan kepada Myanmar khususnya masyarakat Rohingya di wilayah Rakhine. Kita sangat berharap agar kerajaan Myanmar dapat memberikan kelulusan kepada misi ini.

“Sekiranya masih tiada kelulusan sehingga 31 Januari, kita akan teruskan misi dan menuju ke Teknaf, Bangladesh, bagi memberikan bantuan kepada pelarian Rohingya dari Maungdaw. Itu adalah alternatif kedua sekiranya tidak mendapat kelulusan daripada kerajaan Myanmar,” kata Azeez dalam sidang media tersebut.

Menurut Azeez lagi, hampir 14 buah negara turut terlibat dalam misi kali ini dengan lebih 2,000 tan bahan makanan akan disalurkan kepada masyarakat Rohingya dan rakyat Myanmar yang menderita akibat pergolakan di wilayah tersebut.

Flotilla kemanusian itu hasil kerjasama beberapa badan bukan kerajaan (NGO) termasuklah Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Kelab Putra 1Malaysia (KP1M) serta lebih 28 NGO tempatan dan antarabangsa.