Foto Menteri Umno di Kasino Las Vegas Cetus Kontroversi

Selepas heboh di media sosial mengenai swafoto percutian isteri seorang menteri Umno Selangor di Las Vegas, Amerika Syarikat (AS) minggu lalu, kini giliran seorang menteri Umno dari Johor pula mencetuskan kontroversi dengan fotonya dalam sebuah kasino di bandar perjudian tersebut.

Foto menteri itu yang dimuat naik ke dalam akaun instagram peribadinya mendapat perhatian netizen setelah sebuah Facebook pro-Pakatan Harapan mempersoalkan tujuan beliau memasuki premis perjudian berkenaan.

Rata-rata netizen turut beranggapan tindakan menteri Umno berada dalam kasino berkenaan menunjukkan seolah beliau tidak memahami sensitiviti rakyat di negara ini berkaitan perjudian.

Sehingga kini, foto terbabit telah menerima lebih 2,000 ‘likes‘ dan 808 ‘shares’ di Facebook berkenaan.

Difahamkan menteri tersebut kini sedang bercuti ke Las Vegas untuk beristirehat dan menyambut tahun baharu.