Menarik
Tarikh Hari Ini
17 August 2017

SPRM Tahan Lima Individu Terlibat Penyelewangan Projek FELDA

Lima orang termasuk dua bekas pegawai kanan Felda ditahan di sekitar Lembah Klang hari ini kerana disyaki terbabit dalam penyelewengan projek ternakan ikan Sturgeon bernilai RM47.6 juta.

Sumber Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkata seorang daripada mereka adalah bekas pegawai kanan bergelar Datuk, seorang bekas pegawai (yang menyandang jawatan tinggi), seorang bertugas di luar negara, seorang pegawai terbabit projek penternakan ikan itu dan seorang lagi penolong pegawai tadbir.

Mereka berusia 30, 33, 38, 53 dan 57 tahun.

Sumber itu memberitahu bahawa mereka ditahan di beberapa lokasi di sekitar Lembah Klang di antara 11.30 pagi dan 1.30 tengah hari tadi menerusi Op Caviar SPRM bagi menyiasat dakwaan penyelewengan projek pemindahan teknologi penternakan ikan sturgeon bernilai US$10 juta (RM47.6 juta) sejak 2014.

“Mereka dipercayai telah menyalahgunakan kedudukan mereka untuk kepentingan sendiri,” kata sumber itu ketika dihubungi Bernama di sini.

Sumber SPRM itu berkata dalam satu mesyuarat pada Januari 2013, Lembaga Pengarah Felda telah meminta suspek yang menyandang jawatan tinggi itu supaya menyediakan laporan terperinci berhubung pelaburan projek berkenaan untuk dibentangkan.

Sumber itu berkata suspek berkenaan sebaliknya menubuhkan Felda Carviative Sdn Bhd (FCSB) pada Januari 2014 tanpa pengetahuan Lembaga Pengarah Felda, Bahagian Perundangan dan Bahagian Kewangan Felda.

Suspek kemudian menandatangani satu perjanjian bernilai US$45 juta (RM146.25 juta) dengan sebuah syarikat penternakan ikan sturgeon di Korea tanpa pengetahuan Lembaga Pengarah Felda, katanya.

Sumber itu berkata siasatan awal SPRM mendapati projek itu tidak mendapat kelulusan daripada Jabatan Alam Sekitar Pahang dan pembayaran mula dibuat kepada syarikat Korea berkenaan seminggu selepas FCSB ditubuhkan.

Setakat ini, suspek telah meluluskan kira-kira US$10 juta (RM47.6 juta) daripada dana Felda untuk membuat pembayaran kepada syarikat Korea itu melalui FCSB tanpa pengetahuan dan kelulusan Lembaga Pengarah Felda, katanya.

Menurut laporan itu, penghantaran ikan sturgeon ke Malaysia tidak dapat dilaksanakan kerana ladang akuakultur masih belum dibina berikutan tindakan Jabatan Alam Sekitar menarik balik tapak cadangan setelah mendapati ia projek berimpak tinggi.

Laporan itu menyatakan lokasi projek itu terletak di Sempadan Taman Negara, yang merupakan kawasan sensitif alam sekitar, mengganggu ekologi sungai selain tidak bersesuain dengan ekopelancongan penduduk sekitar.

Projek itu hanya selesai di peringkat penyediaan reka bentuk ladang akuakultur dan penyediaan jalan masuk ke tapak projek tetapi ikan Sturgeon masih berada di Korea.

Laporan itu turut mendedahkan bahawa perjanjian yang ditandatangani FCSB dengan syarikat Korea itu mempunyai terma perjanjian yang tidak menjaga kepentingan dan merugikan termasuk jadual pembayaran yang tidak terperinci dan tidak mengikut kemajuan kerja menyebabkan FCSB terpaksa membuat bayaran berdasarkan kontrak walaupun perkhidmatan/bekalan tidak diperoleh.

Pembayaran ansuran pertama hingga ke empat yang berjumlah US$8 juta telah dibuat pada 2014, yang lebih awal daripada tempoh ditetapkan dalam kontrak iaitu di antara 51 hingga 67 hari, tambah laporan itu.

Menurut Laporan Ketua Audit Negara itu, Felda boleh mendapat anggaran faedah berjumlah US$480,000 pada kadar faedah tiga peratus untuk tempoh dua bulan sekiranya amaun itu disimpan dalam simpanan tetap.

Ikan Sturgeon merupakan ikan primitif yang hidup sejak 200 juta tahun dahulu dengan telurnya dihasilkan sebagai kaviar hitam yang bernilai tinggi.

Harga pasaran kaviar itu dianggarkan antara RM9,000 hingga RM16,000 sekilogram, malah ada yang mencecah ratusan ribu ringgit bergantung kepada kualitinya. – BERNAMA