Khalid Samad Tuntut AG Kelas Dana RM2.6B

Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali akan diminta menjelaskan kepada Parlimen berkaitan kenyataan beliau bahawa tidak wujud sebarang kesalahan jenayah dilakukan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abd Razak berhubung penerimaan derma RM2.6 bilion.

Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad berkata tuntutan untuk permintaan itu telah difailkan dan diterima Pejabat Yang Di-Pertua Parlimen pada 21 Februari lalu.

Katanya, usul berkenaan selaras dengan Perkara 27 (3), Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat yang membolehkan Parlimen membahaskan perkara berkepentingan awam dan wajar disegerakan.

“Sebelum ini, beliau membuat kenyataan ‘tiada apa-apa kesalahan jenayah dilakukan Najib Razak’ dan mengisytiharkan dana itu datang dari keluarga diraja Saudi.

“Namun begitu, dapatan mahkamah luar negara termasuk Singapura, Amerika Syarikat dan Switzerland mengesahkan wang berkenaan sebenarnya adalah daripada 1 Malaysia Development Berhad (1MDB).

“Jadi, kita menuntut Peguam Negara datang ke Parlimen dan jelaskan kepada kita fakta bercanggah ini dan tunjukkan bahawa keputusan mahkamah Singapura itu salah,” katanya dalam sidang media di pejabatnya, di Shah Alam, hari ini.