Tiada Rakyat Malaysia Terlibat Insiden Bom Mesir

Tiada rakyat Malaysia dilaporkan terlibat dalam insiden serangan bom di Gereja Koptik Mar Girgis di Tanta dan Kathedral Koptik Ortodoks Saint Mark di Iskandariah, Mesir lapor Wisma Putra.

Melalui kenyataan kepada media, Wisma Putra memaklumkan Kedutaan Besar Malaysia di Kaherah akan memantau perkembangan insiden serangan berkenaan terutama melibatkan kepentingan rakyat Malaysia di negara tersebut.

Menurut kenyataan itu lagi, Malaysia mengambil pendirian mengutuk sekerasnya serangan bom di dua gereja terbabit yang meragut 47 nyawa dan telah mencederakan 137 orang.

“Susulan kejadian ini, kerajaan Mesir mengisytiharkan darurat di negara berkenaan.

“Kerajaan Malaysia merakamkan ucapan takziah kepada kerajaan dan rakyat Mesir serta kepada keluarga dan mangsa yang terbabit dalam insiden serangan itu,” menurut kenyataan berkenaan.

Wisma Putra mengingatkan rakyat Malaysia yang berada di Mesir supaya sentiasa berhati-hati dan peka terhadap keadaan keselamatan mereka.

Sebarang pertanyaan atau bantuan boleh dikemukakan kepada Kedutaan Besar Malaysia di Kaherah menerusi talian +20237610013, +201200276388 atau e-mel mwcairo@kln.gov.my.