Ancam Kestabilan Timur Tengah, Najib Kritik Iran di Sidang Kemuncak Riyadh

Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Razak mengkritik sikap Iran yang terus mengancam kestabilan politik dan keselamatan di rantau Timur Tengah semasa menyampaikan ucapan di Sidang Kemuncak Arab-Amerika Syarikat di Riyadh disaksikan Presiden Amerika, Donald Trump dan ketua kerajaan Islam yang lain.

Najib dipetik berkata, Tehran seharusnya mengelakkan sebarang tindakan yang boleh ditafsirkan sebagai mencampuri urusan negara Islam yang lain di rantau itu.

Tambahnya, kestabilan politik dan keselamatan di rantau Timur Tengah bukan sahaja mampu membawa kebaikan kepada semua negara, malah juga memperkukuhkan perpaduan ummah.

“Ini bukan sahaja untuk kestabilan rantau itu tetapi juga untuk perpaduan ummah,” katanya.

Sidang kemuncak tersebut yang dihadiri kira-kira 50 pemimpin negara Islam itu bertujuan mewujudkan kerjasama bersepadu dengan Amerika Syarikat dalam memerangi keganasan.

Malah beberapa pemerhati berpendapat bahawa sidang kemuncak ini merupakan langkah strategik Arab Saudi untuk mendapatkan pengaruh bagi mengekang kemaraan kuasa Iran, selain mendapatkan sokongan terhadap serangan agresif negara itu ke atas Yaman.

Lawatan Trump ke Arab Saudi turut menyaksikan perjanjian senjata bernilai AS$110 bilion dimeterai antara negara itu dengan Amerika Syarikat bagi tujuan mengekang kuasa Tehran.