Dua Bekas Pegawai TUDM Hadapi Tuduhan Rasuah RM600 Ribu

Dua bekas pegawai kanan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Shah Alam, hari ini, atas tuduhan menerima suapan bernilai RM600,000, tujuh tahun lalu.

Tertuduh pertama, Leftenan Kolonel (B) Kamal Baharin Nali, 48, dituduh memperoleh suapan itu daripada Ab Rahim Ghalim melalui seorang individu, Wan Ahmad Idzham Wan Sulaiman, 45.

Tertuduh kedua, Kapten (B) Fadzil Noor Alias, 38, dituduh atas tuduhan bersubahat dengan Kamal Baharin menerima suapan itu yang diperoleh dalam bentuk dua keping cek Affin Bank Bhd.

Bagaimanapun, kedua-dua tertuduh mengaku tidak bersalah terhadap semua tuduhan itu, lapor BH Online.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan itu dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Farah Yasmin Salleh, manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam, Datuk Jagjit Singh Bant Singh.

Hakim Rozilah Salleh menetapkan jaminan RM50,000 kepada setiap tertuduh dengan seorang penjamin selain 16 Jun ini sebagai tarikh sebutan semula kes.