Insiden Muka Hadapan The Star, Persatuan Gesa Pembentukan Majlis Media

Berikutan paparan berita muka hadapan The Star Sabtu lalu yang memaparkan gambar umat Islam bersolat tarawih dengan tajuk mengenai keganasan, sebuah persatuan media menggesa pembentukan sebuah majlis untuk mengawal selia industri berita.

Jawatankuasa Kebebasan Media Malaysia Persatuan Berita Penerbitan dan Surat Khabar Dunia (WAN-Ifra) berkata majlis itu boleh mewujudkan garis panduan mengenai laporan beretika dan bertindak sebagai organisasi dalam menangani aduan awam terhadap media.

Katanya melalui kenyataan media hari ini, majlis itu juga dapat menghalang tindakan sewenangnya oleh kerajaan terhadap wartawan dan syarikat penerbitan dalam memastikan kewartawanan berkualiti tinggi.

“Pembentukan majlis media, garis panduan industri dan organisasi menangani aduan akan meningkatkan standard bidang kewartawanan.

“Selain itu, ia akan mendidik rakyat Malaysia mengenai peranan media serta cara merawat pelanggaran etika dalam masyarakat maju dan demokratik tanpa menggunakan hukuman kerajaan,” katanya.

The Star mencetuskan kemarahan umat Islam Sabtu lepas selepas menyiarkan gambar umat Islam menunaikan solat tarawih dengan tajuk muka hadapannya – “Malaysian terrorist leader”.

Akhbar itu membuat permohonan maaf pada Ahad dan empat editor kanan dipanggil ke Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk memberi penjelasan

Semalam KDN mengeluarkan surat tunjuk sebab kepada akhbar itu dan memberi tempoh tujuh hari untuk menjelaskan alasan agar tindakan tidak boleh diambil terhadapnya di bawah Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.

Kementerian itu berkata kemungkinan permit penerbitannya akan digantung.