Kastam Patah Cubaan Seluduh 330 Ekor Kura-Kura di KLIA

Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) berjaya mematahkan cubaan menyeludup 330 ekor kura-kura membabitkan dua spesies bernilai RM1.2 juta, petang semalam.

Timbalan Pengarah Kastam (Penguatkuasaan dan Pematuhan) KLIA, Abdull Wahid Sulong, berkata bertindak atas maklumat, satu pasukan Bahagian Penguatkuasaan JKDM KLIA menjalankan pemeriksaan pada jam 3 petang di Gudang Kargo Udara, Zon Perdagangan Bebas, KLIA dan mendapati lima kotak yang disyaki membawa barang larangan import ditahan.

“Hasil pemeriksaan rapi ke atas kotak berkenaan menemui lima ekor kura-kura jenis Ploughshare dan 325 ekor kura-kura jenis Indian Star yang cuba diseludup, sekali gus menjadi kes tangkapan terbesar sejak tiga tahun lalu.

“Kesemua kotak yang ditahan tiba melalui penerbangan Etihad Airways dari Lapangan Terbang Antananarivo, Madagascar ke KLIA,” katanya pada sidang media di Kompleks Kastam Kargo KLIA, di Sepang hari ini.

Tambah beliau, siasatan awal menunjukkan kura-kura yang dirampas itu dicatatkan sebagai batuan di dalam surat muatan udara.

“Destinasi penghantaran kura-kura berkenaan menggunakan alamat palsu di Salak Tinggi, Sepang, Selangor, namun sehingga kini tiada tangkapan dibuat dan kita masih menjalankan siasatan,” katanya.