Kerajaan Bakal Naik Had Umur Perokok

Had umur membeli dan menjual rokok akan dinaikkan kepada 21 tahun dengan penggubalan undang-undang baharu, kata Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya.

Beliau berkata, peraturan itu akan dilaksanakan dalam Akta Kawalan Tembakau dan Merokok (termasuk rokok elektronik) yang drafnya kini disediakan.

Katanya, akta yang akan menggantikan Akta Makanan 1983 berkaitan Peraturan-peraturan Kawalan Hasil Tembakau itu yang mengandungi larangan pembelian dan penjualan rokok bagi mereka yang berumur 21 tahun ke bawah, akan dibentangkan di Parlimen tahun depan.

“Jika sebelum ini, umur 18 tahun dan ke bawah hanya tidak boleh beli rokok, tetapi boleh menjual rokok. Jadi undang-undang baharu ini nanti akan memperketatkan peraturan ini dengan tidak boleh membeli dan menjual kepada mereka yang berumur 21 tahun ke bawah,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas Majlis Pelancaran Nafas Baru Bulan Ramadan Peringkat Kebangsaan di sini, semalam.

Menjelaskan had umur itu, Dr Hilmi berkata, pada umur sebelum 21 tahun, otak manusia masih dalam peringkat perkembangan dan amalan menghisap rokok boleh menjejaskan perkembangan otak perokok.

Hilmi dalam pada itu berkata, program Perkhidmatan Berhenti Merokok (mQuit) yang dijalankan tahun lepas mendapati lebih 10,000 perokok tampil mendapatkan khidmat nasihat dan rawatan untuk berhenti merokok. – BERNAMA