Kes Rasuah Polis Melaka, ASP Direman Tujuh Hari

Seorang pegawai polis berpangkat Assisten Superintendan (ASP) direman tujuh hari bagi membantu siasatan kegiatan mengutip wang perlindungan daripada pengusaha pusat judi haram dan rumah urut di Melaka.

Perintah reman bermula hari ini hingga 31 Mei itu dikeluarkan Majistret Nik Isfahanie Tasnim Wan Ab Rahman.

Lelaki berumur 51 tahun itu merupakan ketua jabatan di sebuah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di Melaka ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pagi semalam di Melaka.

Penahanan itu menjadikan 13 individu termasuk 9 pegawai dan anggota polis di Melaka ditahan bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Mereka direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 16(a)(B) dan 17(a) Akta SPRM 2009 serta Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001. – BERNAMA