Nazri Sedia, Masih Sudi Debat Dengan Tun Dr Mahathir

Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Nazri Aziz mendakwa bersedia dan sudi mengadakan debat dengan bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada bila-bila masa.

Nazri berkata beliau sekadar mahu bertanya beberapa persoalan termasuk mengenai cara dana pilihan raya yang diperolehi oleh bekas perdana menteri itu sehingga membolehkan Barisan Nasional (BN) menang dalam lima pilihan raya umum.

“Saya sudi, bila-bila masa di mana sahaja.

“Saya cuma mahu tanya sewaktu dia menjadi perdana menteri bagaimana dan dari mana beliau mendapatkan dana yang menyebabkan Barisan Nasional menang lima pilihan raya umum,” katanya semasa sesi dialog anjuran Alumni Kelab Umno Luar Negara di Kuala Lumpur, malam tadi.

Menurut Ahli Parlimen Padang Rengas itu, debat itu akan menjawab segala persoalan yang selama ini membelenggu pemikirannya dan rakyat termasuk jumlah perbelanjaan BN untuk menghadapi lima pilihan raya semasa zaman Mahathir sebagai Pengerusi BN.

Malah Nazri turut memberi jaminan tidak akan berlaku sebarang insiden tidak diingini termasuk pergaduhan semasa debat itu berlangsung seperti didakwa beberapa pihak.

“Saya dapat tahu lima laporan polis dibuat terhadap debat itu oleh tiga orang. Kandungan laporan sama.

“Bila saya tanya mengapa, mereka jawab ‘polis suruh’.

“Tak masuk akal. Bagaimana mungkin debat ini akan jadi bergaduh?”

Pada 8 Mac lalu, Mahathir telah mencabar Nazri untuk mengadakan berdebat berkaitan isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB), skandal Bumiputra Malaysia Finance (BMF) dan RM2.6 bilion yang dimasukkan ke dalam akaun peribadi Perdana Menteri.

Namun debat antara Nazri dan Mahathir yang dijadualkan di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Kuala Kangsar, 25 Mac telah dibatalkan atas alasan keselamatan.

Debat tersebut kemudian dijadualkan semula untuk diadakan di Kumpulan Karangkraf, Shah Alam pada 7 April turut dibatalkan atas alasan menerima bantahan penduduk setempat.