Pegawai Kanan Polis Dilepaskan Dengan Jaminan

Mahkamah Majistret Putrajaya hari ini melepaskan seorang pegawai kanan polis Melaka selepas direman tujuh hari bagi membantu siasatan berkaitan kegiatan kutipan wang perlindungan daripada pengusaha pusat judi haram dan rumah urut di negeri itu.

Majistret, Nik Isfahanie Tasnim Wan Ab Rahman, melepaskan suspek lelaki berusia 51 tahun itu dengan jaminan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebanyak RM50,000.

Suspek yang bertugas di Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Alor Gajah itu ditahan SPRM pada 24 Mei lalu di Melaka.

Terdahulu, suspek tiba di Mahkamah Majistret di sini jam 9.15 pagi diiringi pegawai SPRM.

Sementara itu, mahkamah sama menyambung reman selama dua hari bermula esok hingga 2 Jun terhadap tiga suspek terdiri daripada orang awam berhubung kes sama.

Sebelum ini, pada Sabtu lalu, ketiga-tiga suspek dilepaskan dengan jaminan SPRM sebanyak RM100,000, setiap seorang dengan seorang penjamin selepas disiasat mengikut Seksyen 16(a)(B) dan 17(a) Akta SPRM 2009.

Bagaimanapun, mereka ditahan reman semula selama empat hari bermula Ahad lalu bagi membolehkan mereka disiasat mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001.