Menarik
Tarikh Hari Ini
17 August 2017

Serangan Keganasan di Rantau Ini Berkait Dengan Pembunuhan Wanndy, Kata TPM

Insiden terbaharu serangan pengganas di beberapa daerah di Thailand, Jakarta, Indonesia serta pertempuran di Mindanao, Filipina mempunyai kaitan dengan pembunuhan koordinator Daesh Asia Tenggara, Mohammad Wanndy Mohamed Jedi di Syria pada Mac lepas, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata ini merupakan hasil kajian yang diperoleh oleh badan perisikan yang juga mendapati kewujudan rangkaian Katibah Nusantara oleh Daesh untuk mereka yang menjadi pengganas di rantau ini.

“Apa yang berlaku di Selatan Thai, Jakarta dan Mindanao, kajian badan perisikan mendapati ada hubung kait dengan pembunuhan Wanndy yang dahulu merupakan seorang koordinator Katibah Nusantara.

“Kita di Malaysia jangan berasa selesa dengan keadaan ini,” katanya kepada wartawan selepas merasmikan Program Big Splash Data Terbuka di Universiti Malaya di sini hari ini.

Justeru, katanya pihak polis khasnya melalui unit anti keganasan sentiasa meningkatkan kesiapsiagaan untuk mengekang kegiatan keganasan pada tahap tertinggi, lebih-lebih lagi dalam persiapan negara menjadi tuan rumah Sukan SEA dan Sukan Para ASEAN pada Ogos dan September ini.

Ahmad Zahid menunjukkan aplikasi mudah alih “Big Splash Data Terbuka” ketika menaiki bas RapidKL selepas merasmikan Hari Data Terbuka 2017 di Universiti Malaya

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri turut menggesa rakyat supaya meletakkan kepercayaan penuh kepada pihak polis dan agensi penguat kuasa yang lain dalam isu ini.

Katanya insiden sedemikian dan juga serangan bom di Manchester boleh berlaku pada negara sekiranya kita berasa riak dalam hal ini.

“Saya juga meminta supaya rakyat jangan ambil mudah apa yang berlaku.

“Pengeboman boleh berlaku bila-bila masa, di mana-mana sahaja di dunia ini dan Malaysia tidak terlepas dan (mungkin) akan mengalami perkara ini jika kita tidak berhati-hati dan hanya meletakkan kesiapsiagaan kepada agensi-agensi penguatkuasaan,” katanya.

Beliau berkata usaha kerjasama antara agensi penguatkuasaan kerajaan dengan pihak luar seperti ASEANAPOL juga dipertingkat untuk mengesan dan memantau pergerakan pengganas.

Thailand telah mengalami beberapa siri pengeboman dengan insiden terbaharu berlaku letupan bom paip di sebuah hospital milik tentera di Bangkok pada Isnin lalu yang mencederakan 20 orang manakala di terminal bas di Jakarta Timur malam tadi berlaku serangan bom oleh pengebom berani mati yang mengakibatkan sekurang-kurangnya dua orang terbunuh.

Kerajaan Filipina pada Selasa lalu telah menguatkuasakan undang-undang tentera di wilayah Mindanao berikutan berlaku pertempuran berdarah antara tentera kerajaan dengan puak militan berkaitan Daesh di Bandar Marawi. – BERNAMA