Wan Azizah Percaya Tuduhan Rasuah Guan Eng Sengaja Direka

Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail percaya bahawa tuduhan rasuah yang dilemparkan kepada Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guang Eng sengaja direka bagi memberi imej yang buruk terhadap Pakatan Harapan (PH).

Wan Azizah berkata kejayaan yang dicapai kerajaan Pulau Pinang termasuk dalam meningkatkan urus tadbir yang cekap, selain dikelola dengan telus menyebabkan golongan kleptokrat buntu sehingga memaksa mereka untuk mencipta fitnah terhadap Guan Eng.

Kata Wan Azizah, disebabkan kecekapan urus tadbir Pulau Pinang, negeri itu berjaya mengurangkan jumlah hutang selain mampu menaikkan rezab tunai sehingga RM1.7 bilion.

“Golongan kleptokrat kebuntuan menghadapi pemimpin yang adil, telus dan beramanah. Lalu fitnah ditabur. Tuduhan direka-reka.

“Lim Guan Eng berdepan dengan tuduhan yang direka-reka. Kepada saudara Lim Guan Eng, kami KeAdilan (PKR) dan (Pakatan) Harapan akan teguh bersama anda melawan fitnah yang dilontarkan ini,” tulis beliau melalui laman Facebooknya sempena ucapan dasar Presiden untuk Kongres Nasional PKR 2017 di Shah Alam, hari ini.

Tambahnya, di bawah kepimpinan Guan Eng, pelbagai skim yang baik telah dilaksanakan termasuk skim i-Sejahtera yang memberi manfaat kepada rakyat di negeri itu.

Beliau turut menyeru semua pihak agar memberi ruang kepada PH mentadbir negara berdasarkan ‘track record’ yang baik di Selangor dan Pulau Pinang.

“Jika kita boleh mentadbir dengan cemerlang Selangor dan Pulau Pinang , percayalah, kita juga boleh mentadbir dengan cemerlang jika rakyat memberi mandat kepada kita memimpin Putrajaya InsyaAllah.”